
SAUDARA PENGARANG
- Utamakan penyesuaian pembelajaran universiti: urus masa, fahami tugasan, minta maklum balas dan perbaiki kelemahan sejak semester pertama.
- Rapatkan hubungan dengan penasihat akademik dan pensyarah; buat janji temu, tanya masalah pengajian dan manfaatkan saluran bantuan universiti.
- Sertai projek, persatuan dan kerja sambilan; rekod peranan dan hasil untuk membina CV dan profil LinkedIn serta pilih latihan industri berdasarkan skop.
Kemasukan mahasiswa baharu ke universiti membawa harapan besar kepada pelajar dan keluarga. Di sebalik kesibukan pendaftaran dan permulaan kuliah, persediaan kerjaya perlu diberi perhatian sejak awal pengajian.
Persediaan ini merangkumi kebolehan mengurus diri, mendapatkan bimbingan, membina kemahiran melalui aktiviti dan pengalaman kerja, serta merekod pencapaian sebelum melangkah ke latihan industri dan pekerjaan.
Pelajar tidak perlu mempunyai rancangan kerjaya yang lengkap pada semester pertama. Pada peringkat ini, keutamaan ialah menyesuaikan diri dengan cara pembelajaran universiti yang menuntut lebih banyak inisiatif.
Mereka perlu belajar mengatur masa, memahami kehendak tugasan dan bertanya apabila kurang jelas. Kebiasaan menerima maklum balas serta memperbaiki kelemahan juga perlu dibina sejak awal kerana tuntutan ini akan berterusan dalam alam pekerjaan.
Dalam proses penyesuaian tersebut, penasihat akademik ialah sumber bimbingan yang perlu dimanfaatkan. Pelajar digalakkan mengambil inisiatif membuat janji temu dan menyediakan soalan berkaitan pengajian atau kesukaran yang dihadapi.
Walaupun pensyarah mempunyai jadual yang padat, pelajar boleh menghubungi mereka lebih awal untuk mengatur pertemuan. Universiti pula perlu memastikan pelajar mengetahui cara mendapatkan bimbingan dan saluran bantuan yang tersedia.
Apabila semakin selesa dengan kehidupan kampus, pelajar boleh mula melibatkan diri dalam projek kelas, persatuan dan aktiviti kolej kediaman. Penglibatan ini memberi ruang untuk melatih komunikasi, kerjasama dan kepimpinan melalui tanggungjawab sebenar.
Mengurus sebuah program, misalnya, memerlukan pelajar membahagikan tugas, mengawal perbelanjaan dan menyesuaikan rancangan apabila berlaku perubahan. Pengalaman seperti ini membantu mereka memahami bagaimana pengetahuan digunakan untuk menyelesaikan masalah.
Aktiviti perlu dipilih mengikut minat dan kemampuan supaya komitmen dapat diselesaikan tanpa mengabaikan pengajian. Selepas sesuatu projek, pelajar boleh mencatat peranan, cabaran dan hasil yang dicapai.
Catatan ini menjadi bahan untuk menyediakan curriculum vitae (CV), iaitu dokumen yang merangkum pendidikan, pengalaman dan kemahiran seseorang. Dengan merekod pengalaman secara berterusan, pelajar mempunyai contoh yang jelas untuk menerangkan kebolehan diri semasa temu duga kelak.
Sejak semester pertama juga, pelajar boleh membuka akaun LinkedIn sebagai tempat membina profil profesional secara beransur. Projek kelas, pengalaman mengurus aktiviti kolej dan kerja sambilan boleh dimasukkan dengan menerangkan tugas serta kemahiran yang dipelajari.
Sebagai contoh, pelajar yang mengurus publisiti program boleh menunjukkan bahan yang dihasilkan dan menjelaskan sumbangannya. LinkedIn turut menyediakan pencarian pekerjaan dan membolehkan perekrut mencari calon melalui maklumat profil, maka setiap maklumat yang dikongsi perlu tepat.
Sepanjang pengajian, cuti semester memberi peluang mendapatkan pengalaman di luar kampus bagi pelajar yang berkesempatan. Kerja sementara atau sambilan boleh memperkenalkan mereka kepada jadual kerja, arahan penyelia dan urusan pelanggan.
Walaupun pekerjaan itu berbeza daripada bidang pengajian, pengalaman menjalankan tanggungjawab tetap boleh dimasukkan dalam CV. Pelajar juga dapat mengenali jenis tugas dan persekitaran kerja yang sesuai dengan diri mereka.
Menjelang tahun pertengahan pengajian, penerokaan kerjaya boleh dilakukan dengan lebih terarah melalui perbualan bersama alumni, pensyarah dan pengamal industri. Pelajar boleh meneliti iklan pekerjaan untuk memahami tugas serta kemahiran yang diminta, kemudian mengenal pasti perkara yang masih perlu dipelajari.
Jika sesuatu bidang memerlukan kemahiran tertentu, baki tempoh pengajian boleh digunakan untuk mengambil kursus, menyertai projek atau mencari pengalaman yang berkaitan.
Apabila tiba masa latihan industri, pilih penempatan dengan meneliti skop tugas, bimbingan penyelia dan peluang pembelajaran. Organisasi yang diminati sebagai tempat bekerja selepas bergraduasi boleh dipertimbangkan jika memenuhi keperluan latihan.
Sepanjang penempatan, pelajar berpeluang menunjukkan disiplin dan mutu kerja sambil menilai kesesuaian organisasi tersebut dengan hala tuju mereka. Universiti dan majikan perlu memastikan pelajar menerima tugasan serta bimbingan yang membantu perkembangan kemahiran.
Pada tahun akhir, pengalaman yang dikumpulkan boleh digunakan untuk mengemas kini CV dan profil LinkedIn serta menyediakan permohonan kerja. Pelajar perlu mampu menjelaskan apa yang telah dilakukan, dipelajari dan diperbaiki sepanjang pengajian.
Jika berdepan masalah pada mana-mana peringkat, dapatkan bantuan penasihat akademik atau pensyarah yang dipercayai. Persediaan yang dibina secara beransur sejak semester pertama memberi mahasiswa asas yang lebih kukuh untuk membuat pilihan dan memasuki alam pekerjaan.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Prof. Madya Dr. Siti Fatimah Mohamad
Pensyarah
Jabatan Pengurusan dan Khidmat Makanan
Fakulti Sains dan Teknologi Makanan
Universiti Putra Malaysia
E-mel:s_fatimah@upm.edu.my