Belanjawan 2027: Satu ujian darah, maknanya untuk seisi keluarga

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Peluasan saringan talasemia kepada suami dan anak membantu mengurangkan risiko kelahiran bayi dengan talasemia major.
  • Saringan perlu disertai pendidikan, kaunseling dan laluan susulan supaya individu membuat keputusan yang termaklum.
  • Program saringan mesti elakkan stigma, guna bahasa berhati-hati dan kenal pasti ahli keluarga melalui saringan berangkai.

“Saya sihat, doktor. Kenapa suami saya pula perlu diperiksa?” Soalan seperti ini mungkin timbul apabila seseorang wanita mendapat tahu bahawa dirinya ialah pembawa talasemia.

Dia tidak berasa sakit. Dia bekerja seperti biasa, menguruskan keluarga dan mungkin tidak pernah mempunyai masalah kesihatan yang serius. Status pembawa itu hanya diketahui selepas menjalani satu ujian darah.

Namun, dalam penyakit yang diwarisi seperti talasemia, keputusan ujian seorang individu kadangkala membawa maklumat yang lebih luas daripada kesihatannya sendiri. Ia boleh memberi petunjuk tentang risiko kepada pasangan, anak-anak dan generasi seterusnya.

Belanjawan 2027 memberikan perhatian kepada perkara ini apabila kerajaan mengumumkan bahawa saringan talasemia percuma akan diperluas kepada suami dan anak pembawa bagi mengurangkan risiko kelahiran bayi dengan talasemia major.

Pengumuman ini penting kerana program saringan talasemia sebenarnya telah lama dilaksanakan di Malaysia, termasuk saringan dalam kalangan murid sekolah serta kumpulan tertentu.

Peluasan yang diumumkan kali ini membawa perhatian kepada satu lagi bahagian penting dalam pencegahan penyakit genetik: apabila seorang pembawa dikenal pasti, apakah yang perlu berlaku selepas itu?

Jawapannya mungkin bermula dengan sebuah keluarga.

Sihat Tidak Semestinya Bermaksud Bukan Pembawa

Talasemia merupakan penyakit darah yang diwarisi melalui gen dan menjejaskan penghasilan hemoglobin, iaitu protein dalam sel darah merah yang membawa oksigen ke seluruh tubuh. Terdapat beberapa jenis talasemia dengan tahap keterukan yang berbeza.

Antara perkara yang sering mengelirukan masyarakat ialah perbezaan antara seseorang yang menjadi pembawa dengan seseorang yang menghidap bentuk talasemia yang serius.

Seorang pembawa talasemia boleh kelihatan sihat dan menjalani kehidupan seperti biasa. Sesetengah pembawa mungkin mempunyai perubahan tertentu pada sel darah merah atau anemia ringan, tetapi ramai tidak mempunyai masalah kesihatan yang ketara.

Justeru, seseorang tidak boleh menentukan status pembawa hanya berdasarkan penampilan atau tahap kesihatannya.

Di sinilah saringan menjadi penting. Ujian darah boleh memberikan maklumat yang tidak dapat diketahui hanya dengan bertanya, “Adakah saya rasa sihat?”

Apabila seseorang dikenal pasti sebagai pembawa, ia juga tidak bermaksud bahawa dia telah melakukan sesuatu yang salah. Status tersebut diwarisi melalui gen. Ia bukan penyakit berjangkit, tidak boleh berpindah melalui sentuhan dan tidak berlaku disebabkan gaya hidup seseorang.

Pemahaman ini penting kerana program saringan yang baik sepatutnya meningkatkan pengetahuan, bukannya menghasilkan stigma terhadap mereka yang dikenal pasti sebagai pembawa.

Mengapa Suami Perlu Menjalani Saringan?

Kita kembali kepada wanita tadi.

Sekiranya hanya dia seorang pembawa dan suaminya tidak membawa varian gen talasemia yang berkaitan, risiko mendapat anak dengan bentuk talasemia tertentu yang serius adalah berbeza berbanding apabila kedua-duanya merupakan pembawa.

Oleh itu, mengetahui status pasangan membantu keluarga memahami risiko dengan lebih tepat.

Bagi pasangan yang kedua-duanya merupakan pembawa beta-talasemia tertentu, konsep pewarisannya boleh digambarkan secara mudah. Bayangkan ibu mempunyai dua salinan gen berkaitan, satu biasa dan satu yang membawa varian talasemia.

Bapa juga mempunyai keadaan yang sama. Setiap kali kehamilan berlaku, anak akan menerima satu salinan daripada ibu dan satu lagi daripada bapa.

Secara umum, bagi situasi pewarisan beta-talasemia yang melibatkan dua pembawa, setiap kehamilan mempunyai kebarangkalian 25 peratus untuk anak mewarisi dua varian yang menyebabkan penyakit, 50 peratus untuk menjadi pembawa seperti ibu atau bapanya dan 25 peratus untuk tidak mewarisi varian berkenaan.

Satu perkara perlu ditekankan: angka ini bukan bermaksud jika pasangan mempunyai empat orang anak, seorang pasti akan mendapat talasemia major, dua pasti menjadi pembawa dan seorang lagi pasti tidak menjadi pembawa. Setiap kehamilan merupakan peristiwa yang berasingan.

Ia seperti melambung syiling. Jika lambungan pertama menghasilkan gambar, itu tidak bermaksud lambungan seterusnya mesti menghasilkan angka. Kebarangkalian bermula semula pada setiap kehamilan. Jenis talasemia juga berbeza dan corak pewarisannya boleh menjadi lebih kompleks.

Oleh itu, risiko sebenar seseorang pasangan perlu dinilai berdasarkan jenis talasemia serta keputusan pemeriksaan mereka, bukannya berdasarkan angka umum semata-mata.

Mengapa Talasemia Major Mahu Dicegah?

Bagi sesetengah pesakit dengan talasemia yang teruk, masalah kesihatan bermula sejak usia kanak-kanak. Tubuh mereka tidak dapat menghasilkan hemoglobin yang mencukupi dengan berkesan sehingga menyebabkan anemia yang serius. Sebahagian pesakit memerlukan transfusi darah secara berkala sepanjang hayat.

Transfusi ini penting untuk kelangsungan hidup dan perkembangan mereka, tetapi pemberian darah berulang juga boleh menyebabkan pengumpulan zat besi dalam badan.

Tanpa pemantauan dan rawatan yang sesuai, lebihan zat besi boleh memberi kesan kepada organ seperti jantung, hati dan sistem endokrin. Rawatan moden telah banyak meningkatkan jangka hayat dan kualiti hidup pesakit talasemia.

Kemajuan dalam transfusi darah, terapi penyingkiran zat besi, pemantauan komplikasi dan rawatan lain membolehkan ramai pesakit belajar, bekerja dan menjalani kehidupan yang produktif.

Oleh sebab itu, perbincangan tentang pencegahan perlu dilakukan dengan berhati-hati. Matlamat saringan bukan untuk memberikan gambaran bahawa kehidupan seseorang dengan talasemia kurang bernilai.

Sebaliknya, ia memberikan maklumat kepada individu dan pasangan supaya mereka memahami risiko genetik serta pilihan yang tersedia.

Apabila Seorang Pembawa Ditemui, Lihat Juga Keluarganya

Pengumuman Belanjawan 2027 turut menyebut peluasan saringan kepada anak pembawa. Dari sudut kesihatan awam, pendekatan ini mempunyai asas yang mudah difahami.

Gen dikongsi dalam keluarga. Jika seorang ibu atau bapa diketahui sebagai pembawa, terdapat kemungkinan varian tersebut turut diwarisi oleh anak. Anak yang menjadi pembawa mungkin membesar tanpa sebarang gejala yang serius dan tidak menyedari statusnya selama bertahun-tahun.

Maklumat itu mungkin menjadi lebih relevan apabila mereka dewasa dan merancang untuk berkeluarga.

Pendekatan mengenal pasti individu lain yang mungkin berisiko berdasarkan hubungan mereka dengan seseorang yang telah diketahui mempunyai sesuatu varian genetik sering dikenali sebagai cascade screening atau saringan berangkai.

Bayangkan ia seperti menemui satu cabang pada salasilah keluarga yang membawa maklumat penting. Daripada berhenti pada seorang individu, kita melihat cabang-cabang yang berkaitan untuk menentukan siapa lagi yang mungkin mendapat manfaat daripada saringan.

Namun, pelaksanaannya tetap perlu mengambil kira umur, kesesuaian klinikal, persetujuan dan kaunseling yang sewajarnya. Saringan genetik membawa maklumat yang boleh mempunyai implikasi jangka panjang, maka keputusan mengenainya perlu disampaikan dengan jelas dan bertanggungjawab.

Selepas Keputusan Positif, Apa Seterusnya?

Inilah persoalan yang mungkin lebih penting daripada jumlah ujian yang berjaya dilakukan. Bayangkan seseorang menerima keputusan yang menunjukkan bahawa dia pembawa talasemia.

Jika yang diterimanya hanyalah sekeping keputusan makmal tanpa penerangan yang mencukupi, pelbagai salah faham boleh berlaku.

Adakah saya sakit? Adakah saya memerlukan rawatan? Bolehkah saya berkahwin? Adakah anak saya pasti mendapat talasemia?

Soalan-soalan seperti ini memerlukan jawapan yang tepat. Saringan perlu disertai pendidikan kesihatan dan kaunseling yang sesuai.

Individu perlu memahami apakah maksud menjadi pembawa, bagaimana talasemia diwarisi, mengapa pasangan mungkin disarankan menjalani pemeriksaan dan apakah langkah seterusnya sekiranya kedua-duanya didapati pembawa.

Bagi pasangan yang mempunyai risiko genetik tertentu, kaunseling membolehkan mereka memahami risiko bagi setiap kehamilan dan berbincang dengan profesional kesihatan mengenai pilihan yang tersedia berdasarkan keadaan masing-masing.

Prinsipnya ialah keputusan yang termaklum atau informed decision-making. Profesional kesihatan membantu menerangkan risiko dan pilihan dengan bahasa yang boleh difahami, manakala individu dan keluarga membuat keputusan berdasarkan maklumat yang tepat serta nilai dan keadaan mereka sendiri.

Jangan Biarkan Saringan Bertukar Menjadi Stigma

Ada satu risiko yang perlu kita fikirkan apabila program saringan diperluas: masyarakat mungkin mula memberikan label kepada pembawa talasemia. Seseorang mungkin bimbang status pembawanya akan menyebabkan pasangan atau keluarga pasangan memandangnya secara berbeza.

Ada juga kemungkinan keputusan saringan disalah tafsir sebagai bermaksud seseorang itu “berpenyakit” atau tidak sesuai mempunyai keluarga. Pandangan sedemikian tidak tepat. Pembawa talasemia bukan pesakit talasemia major. Status pembawa juga bukan ukuran nilai seseorang sebagai pasangan atau sebagai manusia.

Tujuan mengetahui status genetik adalah untuk menyediakan maklumat yang membolehkan seseorang membuat keputusan dengan lebih jelas.

Oleh itu, kempen kesedaran masyarakat perlu bergerak seiring dengan peluasan saringan. Lebih ramai rakyat menjalani ujian tetapi masih salah memahami maksud keputusan mereka tidak akan mencapai keseluruhan matlamat program.

Bahasa yang digunakan juga penting. Kita perlu berhati-hati supaya usaha “mengurangkan risiko kelahiran bayi talasemia major” tidak berubah menjadi persepsi bahawa keluarga yang mempunyai anak dengan talasemia patut dipersalahkan.

Tidak semua orang mempunyai akses kepada maklumat, saringan atau kaunseling pada masa yang sama.

Ada juga keluarga yang hanya mengetahui status genetik mereka selepas kelahiran seorang anak. Pendekatan kesihatan awam yang baik perlu memberikan pengetahuan tanpa menghukum.

Daripada Saringan Kepada Pencegahan

Malaysia sebenarnya mempunyai kelebihan kerana program saringan talasemia telah dibangunkan sejak sebelum Belanjawan 2027.

Saringan dalam kalangan remaja dan kumpulan tertentu membolehkan status pembawa dikenal pasti lebih awal. Cabaran seterusnya ialah memastikan maklumat tersebut tidak terhenti pada individu yang menjalani ujian.

Apabila seseorang dikenal pasti sebagai pembawa, perlu ada laluan susulan yang jelas. Individu perlu mengetahui maksud keputusannya.

Pasangan yang sesuai untuk menjalani saringan perlu mempunyai akses kepadanya. Ahli keluarga yang mungkin mendapat manfaat daripada pemeriksaan juga boleh diberikan penerangan, manakala mereka yang memerlukan kaunseling lanjut perlu mengetahui ke mana harus dirujuk.

Rekod keputusan saringan juga penting. Seseorang yang menjalani ujian ketika berusia 16 tahun mungkin hanya memerlukan maklumat tersebut bertahun-tahun kemudian apabila merancang untuk berkeluarga. Jika keputusan itu hilang atau dilupakan, peluang yang diberikan oleh saringan awal menjadi kurang bermakna.

Justeru, keberkesanan peluasan yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 akhirnya boleh dilihat bukan hanya melalui jumlah individu yang disaring.

Lebih penting ialah berapa ramai pembawa yang memahami status mereka, berapa ramai pasangan berisiko yang dapat dikenal pasti dan berapa ramai keluarga yang menerima maklumat serta kaunseling yang diperlukan untuk membuat keputusan secara termaklum.

Satu Keputusan yang Membuka Perbualan

Kita kembali kepada wanita yang bertanya pada awal tadi.

“Saya sihat, doktor. Kenapa suami saya pula perlu diperiksa?” Kini jawapannya mungkin lebih mudah difahami.

Bukan kerana dirinya sakit. Bukan juga kerana suaminya dianggap mempunyai penyakit. Sebaliknya, keputusan saringan yang berada di tangannya telah memberikan satu maklumat tentang gen yang mungkin diwarisi dalam keluarganya.

Suaminya menjalani saringan. Anak-anak mereka pula boleh dinilai berdasarkan keperluan dan panduan yang sesuai. Apa pun keputusan yang diperoleh selepas itu, keluarga tersebut mempunyai sesuatu yang tidak mereka miliki sebelumnya: maklumat.

Mereka mungkin masih perlu berbincang. Mereka mungkin mempunyai lebih banyak soalan untuk ditanyakan kepada doktor dan kaunselor. Sesetengah keputusan mungkin juga tidak mudah.

Tetapi sekurang-kurangnya, mereka tidak perlu membuat keputusan penting tentang masa depan keluarga dalam keadaan tidak mengetahui risiko yang sebenarnya boleh dikenal pasti melalui satu ujian darah.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr Azril Shahreez Abdul Ghani
Pensyarah Fisiologi dan Pendidikan Perubatan
Kulliyyah Perubatan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
E-mel: azrilshahreez@iium.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.