
JOHOR BAHRU, 17 Oktober – Bekalan elektrik di beberapa kawasan sekitar Johor Bahru yang terjejas akibat kebakaran di Pencawang Masuk Utama (PMU) Kangkar Tebrau pada Jumaat berjaya dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh 77 minit.
- TNB menjalankan tindakan pantas oleh pasukan teknikal bagi melaksanakan pemulihan bekalan secara berperingkat.
- Kawasan terjejas termasuk Bandar Dato Onn, Taman Daya, Kempas, Bandar Ulu Tiram, Desa Tebrau dan Johor Jaya.
- TNB bekerjasama dengan pihak berkuasa termasuk JBPM untuk menyiasat punca kejadian.
- Dua warga kerja teknikal TNB cedera pada 6.03 petang dan kini dirawat di HSI dalam keadaan stabil.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu kenyataan memaklumkan tindakan pantas yang digerakkan pasukan teknikalnya berjaya melaksanakan usaha pemulihan bekalan secara berperingkat.
“Kebakaran tersebut telah menyebabkan gangguan bekalan elektrik di kawasan sekitar Johor Bharu termasuk Bandar Dato Onn, Taman Daya, Kempas, Bandar Ulu Tiram, Desa Tebrau dan Johor Jaya,” menurut kenyatAan itu.
TNB memaklumkan pihaknya kini bekerjasama pihak berkuasa berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi menyiasat punca sebenar kejadian.
Dalam kejadian pada pukul 6.03 petang, dua warga kerja teknikal TNB yang berada di lokasi kejadian mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan lanjut di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.
“Kedua-duanya dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” tambah kenyataan sama.
Pihaknya turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami pengguna susulan gangguan bekalan elektrik itu, selain merakamkan penghargaan atas kesabaran dan kerjasama sepanjang proses pemulihan dilaksanakan.
Pengguna yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi TNB CareLine di talian 15454.