
KUCHING, 17 Oktober – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Kerajaan Negeri Sarawak memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) pada 15 Oktober lepas bagi memperkukuh pembangunan ekosistem bandar pintar bersepadu serta kesalinghubungan digital di kawasan Greater Kuching.
- Perancangan infrastruktur digital termasuk Wi-Fi awam, pemantauan keselamatan bandar dan sokongan tindak balas kecemasan.
- Penerapan kecerdasan buatan dan digital twin untuk meningkatkan kecekapan pengurusan bandar secara berkesan.
- Inisiatif dijangka memacu agenda digital negara selaras Malaysia Digital 2030 dan Sarawak Digital Economy Blueprint 2030.
Kenyataan MCMC menyatakan kerjasama strategik ini merangkumi perancangan infrastruktur digital, penyediaan Wi-Fi awam, pemantauan keselamatan bandar dan sokongan tindak balas kecemasan.
Di samping itu, inisiatif ini turut melibatkan penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta digital twin bagi meningkatkan kecekapan pengurusan bandar secara berkesan.
“Langkah ini mencerminkan komitmen bersama ke arah melahirkan pembangunan Greater Kuching yang lebih pintar, berdaya tahan dan berorientasikan rakyat,” jelas kenyataan sama menerusi Facebook MCMC.
Usaha ini juga katanya dijangka memacu agenda digital negara, selaras dengan aspirasi Malaysia Digital 2030 serta Sarawak Digital Economy Blueprint 2030.