MEL26 kembali dengan sasaran himpunkan 12,000 pemain

MEL26 kembali membuka tirai dengan sasaran menghimpunkan 12,000 pemain. Foto/ESI

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Liga Esports Malaysia 2026 (MEL26) kembali membuka tirai dengan sasaran menghimpunkan 12,000 pemain dari seluruh negara bagi memperkukuhkan pembangunan bakat e-sukan tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hadiah wang tunai keseluruhan RM246,500 ditawarkan oleh penganjur Esports Integrated (ESI).
  • Pendaftaran dibuka 18 Julai hingga 18 Ogos; daftar menerusi laman rasmi www.esukan.gg.
  • Pertandingan merangkumi MLBB, PUBG Mobile dan eFootball Mobile; kelayakan negeri mula 31 Ogos, final fizikal 2 Oktober di ESI Hub Spacerubix.

Kejohanan anjuran Esports Integrated (ESI) di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM246,500.

Dalam satu kenyataan ESI memaklumkan pendaftaran telah dibuka sejak 18 Julai dan akan ditutup pada 18 Ogos depan.

MEL26 mempertandingkan tiga jenis permainan utama, iaitu Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), PUBG Mobile (PUBGM) dan eFootball Mobile.

Bagi kategori terbuka, pusingan kelayakan akan berlangsung secara dalam talian menerusi sistem State League bermula 31 Ogos, melibatkan penyertaan dari 16 negeri dan Wilayah Persekutuan.

Sebanyak 16 pasukan terbaik dari setiap negeri akan mara ke peringkat akhir yang dijadual berlangsung secara fizikal bagi merebut gelaran juara.

Sementara itu, bagi kategori wanita, pusingan kelayakan secara dalam talian akan bermula pada 14 September dan terbuka kepada semua pasukan serta pemain dari seluruh negara bagi dua judul permainan, iaitu Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) dan PUBG Mobile (PUBGM).

Sebanyak 16 pasukan terbaik akan melayakkan diri ke peringkat akhir yang dijadual berlangsung pada 2 Oktober di ESI Hub, Spacerubix, Puchong.

Orang ramai yang berminat menyertai kejohanan itu boleh membuat pendaftaran menerusi laman sesawang rasmi www.esukan.gg sebelum tarikh tutup penyertaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.