
YANGON, 24 Julai – Skuad Harimau Malaya bersedia untuk meraih mata penuh pada aksi kumpulan B menentang Myanmar, Piala Hyundai ASEAN 2026 pada Sabtu.
- Keserasian pasukan semakin kukuh walaupun tempoh latihan singkat.
- Suasana kem sangat positif; pemain menikmati latihan dan memberi perhatian arahan jurulatih.
- Fokus utama menterjemah perancangan jurulatih ke atas padang dengan berkesan.
- Jika mengekalkan disiplin dan intensiti sepanjang 90 minit, pasukan mampu atasi kelebihan tuan rumah.
Keyakinan itu dinyatakan ketua pasukan Harimau Malaya, Paulo Josue selepas melihat keserasian yang semakin kukuh dalam kalangan pemain, walaupun mempunyai tempoh yang singkat untuk menjalani latihan.
“Setakat ini semuanya berjalan lancar. Jurulatih juga memaklumkan suasana dalam kem sangat positif. Kami dapat melihat semua pemain menikmati setiap sesi latihan dan memberi perhatian terhadap setiap arahan yang diberikan jurulatih.
“Keserasian dalam pasukan juga semakin baik dan saya percaya ia mampu membantu kami memperoleh keputusan positif dalam kejohanan ini, khususnya dalam perlawanan pertama esok. Saya juga yakin semua pemain memahami apa yang dimahukan jurulatih dan berharap kami dapat menterjemahkannya di atas padang serta meraih tiga mata pertama untuk dibawa pulang ke Malaysia,” Katanya.
Tambah pemain kelahiran Brazil itu, Harimau Malaya kini memberi fokus untuk memastikan segala perancangan yang disusun dapat diterjemahkan dengan berkesan di atas padang.
Pemain berusia 37 tahun itu mengakui Myanmar memiliki kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri, namun Harimau Malaya mempunyai kemampuan untuk mengatasi cabaran tersebut jika mengekalkan disiplin dan intensiti permainan sepanjang 90 minit.
Aksi menentang Myanmar dianggap penting bagi menentukan momentum Harimau Malaya dalam saingan peringkat kumpulan sebelum berdepan baki perlawanan Piala Hyundai ASEAN 2026.