Belanjawan 2027 pacu pelancongan dan ekonomi Labuan

Foto fail/Bernama

LABUAN, 17 Oktober -Menerusi pembentangan Belanjawan 2027, Labuan dijangka menerima manfaat positif, khususnya dalam usaha merancakkan sektor pelancongan dan pertumbuhan ekonomi setempat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenaikan had pembelian barangan bebas cukai kepada RM10,000 dijangka merancakkan ekonomi dan memberi manfaat terus kepada pengunjung.
  • Perbadanan Labuan dan Jabatan Wilayah Persekutuan merangka semula hala tuju untuk menarik pelabur dalam bidang fesyen dan peralatan sukan prestasi tinggi.
  • Langkah itu selari dengan usaha memperkukuh sektor minyak dan gas serta perkhidmatan kewangan antarabangsa di Labuan.

Kerajaan mengumumkan kenaikan had pembelian barangan bebas cukai kepada RM10,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (LC), Rithuan Ismail, berkata inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada pengunjung, selain merancakkan ekonomi pulau bebas cukai berkenaan.

Katanya, usaha berkenaan selari dengan teras pembangunan Labuan sebagai pulau bebas cukai, selain memperkukuh sektor minyak dan gas serta perkhidmatan kewangan antarabangsa.

“Dari sudut makro, langkah ini memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, iaitu pengunjung yang datang ke Labuan dan pelabur. Oleh itu, kita perlu memanfaatkan inisiatif dalam Belanjawan 2027 ini dengan mempergiat promosi, khususnya bagi menarik lebih ramai pelabur untuk datang dan melabur di Labuan.” katanya kepada pemberita, di sini.

Perbadanan Labuan bersama Jabatan Wilayah Persekutuan akan merangka semula hala tuju untuk menarik pelabur untuk menceburi bidang baharu, antaranya bidang fesyen dan juga peralatan sukan berprestasi tinggi.

“Seperti yang kita sedia maklum, Labuan merupakan pulau bebas cukai yang tidak mengenakan duti import bagi barangan tertentu. Sebelum ini, kemudahan tersebut hanya dinikmati oleh pelawat dari luar negara, tidak termasuk Sabah dan Sarawak. Namun, kini pengunjung dari Sabah dan Sarawak turut menikmati keistimewaan had pembelian barangan bebas cukai sehingga RM10,000,” katanya.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.