Had pembelian bebas cukai RM10,000 pacu daya saing usahawan Langkawi

Foto fail

LANGKAWI, 17 Oktober -Pengusaha tempatan di Langkawi menyifatkan kenaikan had pembelian barangan bebas cukai kepada RM10,000 sebagai langkah yang membuka lebih banyak peluang kepada usahawan untuk meningkatkan daya saing dan memperluas pasaran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Langkah mencerminkan usaha strategik kerajaan memulihkan dan memperkukuh daya tarikan Langkawi sebagai destinasi membeli belah pilihan pelancong.
  • Inisiatif dijangka memperluas pasaran produk tempatan dan meningkatkan daya saing, memberi manfaat kepada komuniti perniagaan setempat.
  • Kenaikan had disokong pengusaha; dijangka merancakkan pelancongan, ekonomi setempat dan pengembangan produk tempatan ke pasaran antarabangsa dengan syarat penginapan 48 jam.

Presiden Persatuan Penggiat Industri Pelancongan Langkawi (PPIPL) Raseli Yahya, berkata langkah tersebut mencerminkan usaha strategik kerajaan untuk mengembalikan dan memperkukuh daya tarikan Pulau Langkawi sebagai destinasi membeli-belah pilihan pelancong domestik dan antarabangsa.

“PPIPL turut menyambut baik langkah itu yang dilihat sebagai medium untuk memperluas peluang pasaran bagi lebih banyak produk buatan Langkawi.

“Inisiatif berkenaan dijangka meningkatkan daya saing produk tempatan, sekali gus memberi manfaat lebih besar kepada komuniti perniagaan setempat,” katanya kepada pemberita, di sini.

Datuk Alexander Isaac, yang juga pengusaha pelancongan, turut menyokong langkah berkenaan yang dijangka dilaksanakan awal tahun depan.

Beliau yakin inisiatif itu mampu merancakkan semula sektor pelancongan, seiring dengan pelanjutan kempen Tahun Melawat Malaysia hingga akhir 2027.

“Ini sememangnya satu langkah yang baik untuk Pulau Langkawi. Kita berharap lebih ramai pelancong domestik akan berkunjung ke Langkawi untuk membeli barangan tempatan dan import,” katanya.

Pengusaha produk tempatan Zuliza Zainon berkata, pertambahan had tersebut merupakan satu imbuhan kepadasektor hiliran di pulau berkenaan.

“Kemasukan lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara ke Langkawi dapat merancakkan ekonomi setempat serta meningkatkan pasaran produk tempatan.

“Secara tidak langsung, usaha ini juga dapat menggalakkan lebih ramai pelancong berkunjung ke Langkawi, sekali gus membantu memperluas pasaran produk tempatan ke peringkat antarabangsa,” kata Zuliza Zainon.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2027 baru-baru ini, mengumumkan kenaikan had pembelian barangan bebas cukai bagi pulau bebas cukai Langkawi dan Labuan kepada RM10,000.

Kemudahan itu tertakluk kepada syarat tempoh penginapan minimum 48 jam, sebagai langkah merancakkan sektor pelancongan di kedua-dua pulau berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.