
SEOUL, 17 Oktober- Korea Utara didakwa menguji sistem torpedo berkelajuan tinggi berpanduan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan keupayaan mengesan sasaran dan ketepatan serangan.
- KCNA melaporkan ujian torpedo Zam-2.0 dijalankan untuk mengesahkan peningkatan teknikal senjata itu.
- Lebih 180 ujian berbeza dilaksanakan dalam tempoh lima tahun lalu.
- Pengumuman dibuat beberapa hari selepas ujian dua jenis peluru berpandu kruis dari kapal selam.
- Penganalisis berkata Korea Utara mungkin percepat pembangunan senjata dengan bantuan Rusia sebagai balasan penghantaran tentera.
Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) melaporkan ujian sistem torpedo Zam-2.0 itu dijalankan pada Khamis bagi mengesahkan peningkatan teknikal senjata berkenaan.
“Teknologi AI digunakan dalam fungsi pengesanan sasaran dan panduan torpedo berpanduan ketepatan berkelajuan tinggi jenis baharu itu,” menurut KCNA.
Agensi itu turut memaklumkan lebih 180 ujian berbeza dilaksanakan dalam tempoh lima tahun lalu.
Pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas Pyongyang melaporkan ujian dua jenis peluru berpandu kruis yang dilancarkan dari kapal selam.
Penganalisis berkata Korea Utara mungkin mempercepat pembangunan teknologi persenjataannya dengan bantuan Rusia sebagai balasan kepada penghantaran tenteranya bagi menyokong perang Moscow terhadap Ukraine.
Profesor Universiti Kyungnam, Lim Eul-chul berkata penggunaan AI berpotensi membantu torpedo membezakan sasaran sebenar daripada sasaran umpan yang digunakan untuk mengelirukan senjata berkenaan.
“Korea Selatan dan Amerika Syarikat menggunakan sasaran umpan untuk mengalihkan torpedo, tetapi AI berpotensi membantu membezakan sasaran sebenar daripada umpan,” katanya kepada AFP.
Awal bulan ini, Korea Utara turut mengumumkan ujian peluru berpandu hipersonik jarak sederhana yang dibantu AI, ketika Pyongyang dan Seoul meningkatkan persaingan pembangunan senjata hipersonik. -AFP