
KUALA LUMPUR, 17 Oktober – Usaha memperkukuh keselamatan serta keterjaminan makanan negara menerusi Belanjawan 2027 perlu memberi penekanan kepada peningkatan hasil pengeluaran tempatan melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga pemindahan teknologi.
- Perluas tarikan pelaburan asing kepada sektor agromakanan, bukan tertumpu kepada teknologi tinggi saja.
- Kukuhkan rantaian bekalan domestik untuk memenuhi keperluan dalam negara dan kurangkan kebergantungan import makanan.
- Manfaatkan kerjasama serantau, automasi serta peningkatan kualiti benih untuk tingkatkan produktiviti dan hasil.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Pakar Ekonomi Negara IPPFA, Mohd Sedek Jantan berpandangan, langkah berkenaan bertujuan memastikan kesinambungan bekalan makanan negara, khususnya ketika berdepan ketidaktentuan geopolitik dan perubahan iklim.
“Ke arah itu, kerajaan disaran memperluas usaha menarik pelaburan asing dalam sektor agromakanan, selain industri berteknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor.
“Tarikan pelaburan bukan semestinya tertumpu kepada sektor teknologi, pusat data atau semikonduktor, tetapi diperluas kepada sektor pertanian dan komoditi, khususnya keterjaminan makanan.
“Jika kita dapat memperkukuh rantaian bekalan domestik bagi memenuhi keperluan penggunaan dalam negara, kebergantungan terhadap import makanan dapat dikurangkan,”katanya selepas Bicara Bajet di SELANGORfm.
Katanya lagi, kerjasama teknologi dengan negara serantau seperti Thailand dan Indonesia boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan hasil tanaman berikutan negara-negara berkenaan mempunyai persamaan iklim dengan Malaysia.
“Penggunaan automasi dalam sektor pertanian juga perlu disokong dengan usaha meningkatkan kualiti benih dan hasil tuaian.
“Gabungan kedua-dua aspek ini mampu meningkatkan produktiviti serta hasil pengeluaran sektor berkenaan,”jelasnya.