
KUALA LUMPUR, 17 Oktober – Pembangunan ekopelancongan yang mampan berpotensi menjana pendapatan, membuka peluang pekerjaan serta meningkatkan taraf hidup penduduk setempat, tanpa mengabaikan kelestarian alam sekitar.
- Imbangi ekonomi, pemeliharaan alam sekitar dan penglibatan komuniti tempatan dalam pembangunan ekopelancongan.
- Libatkan penduduk setempat kerana mereka faham persekitaran dan sesuai jalankan pembangunan berskala rendah.
- Atasi cabaran infrastruktur terhad dan kekangan dana komuniti bagi memulakan perniagaan ekopelancongan.
- Libatkan kepakaran alam sekitar serta jalankan penilaian impak alam sekitar untuk projek yang memerlukan.
Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Norlida Hanim Mohd Salleh berkata pembangunan ekopelancongan perlu mengimbangi tiga aspek utama iaitu ekonomi, pemeliharaan alam sekitar dan penglibatan komuniti tempatan.
“Penglibatan penduduk setempat dalam mengusahakan sektor itu penting kerana mereka lebih memahami keadaan persekitaran serta mengetahui kaedah pembangunan yang bersesuaian dengan kawasan masing-masing.
“Bagi mengekalkan konsep yang lestari, kita perlu ‘pembangunan’ yang sedikit lebih rendah melalui komuniti tempatan.
“Contoh yang boleh dilihat adalah seperti di Pulau Tioman dengan kebanyakkan chalet-chaletnya dimiliki sebahagian besarnya adalah komuniti tempatan dan secara tidak langsung, konsep seperti itu adalah sangat bagus kerana mereka mengetahui apa yang perlu dilindungi dan apa yang boleh dibangunkan.,” katanya selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.
Tambah beliau lagi, pembangunan ekopelancongan turut berdepan beberapa cabaran termasuk kemudahan infrastruktur yang terhad di kawasan luar bandar serta kekangan dana dalam kalangan komuniti tempatan untuk memulakan perniagaan.
“Perancangan pembangunan juga perlu melibatkan kepakaran dalam bidang berkaitan alam sekitar bagi memastikan setiap projek dilaksanakan secara teratur termasuk penilaian impak alam sekitar (EIA) bagi pembangunan yang memerlukannya.
“Justeru, saya yakin lebih banyak peluang pembangunan ekopelancongan dapat diwujudkan di kawasan luar bandar bagi merancakkan ekonomi setempat, sekali gus menyediakan sumber pendapatan kepada penduduk dan mengurangkan penghijrahan ke bandar untuk mencari pekerjaan,”jelasnya.