
MELAKA, 17 Oktober -Kementerian Pendidikan memberi kerjasama penuh kepada polis berhubung penemuan bungkusan mencurigakan di beberapa sekolah di Negeri Sembilan, membabitkan kawasan Nilai dan Tampin, semalam.
- Menteri menekankan keselamatan sekolah perlu diberi keutamaan dan meminta pengetua, guru besar serta warga sekolah sentiasa berwaspada.
- Ucapan terima kasih disampaikan kepada Polis Diraja Malaysia atas tindakan segera memastikan keselamatan sekolah.
- Penghargaan juga diberikan kepada pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri yang mengambil langkah memperkukuh aspek keselamatan.
- Polis menemui bungkusan berisi tepung gandum dan pinggan plastik; tiada bahan letupan atau berbahaya ditemui, siasatan sedang dijalankan.
Menterinya, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata aspek keselamatan sekolah perlu terus diberi keutamaan, selain meminta semua pengetua, guru besar dan warga sekolah sentiasa berwaspada.
“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas tindakan segera dalam memastikan keselamatan sekolah diberi keutamaan.
“Penghargaan juga diberikan kepada pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) yang mengambil langkah sama dalam memperkukuh aspek keselamatan.
“Sehubungan itu, kita memohon semua pengetua, guru besar dan warga sekolah agar sentiasa bersiap siaga, khususnya dalam menghadapi isu yang melibatkan keselamatan sekolah,” katanya kepada pemberita pada program pertemuan Kelab Perempuan Membaca di Bandaraya Melaka.
Semalam, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad memaklumkan pihaknya menerima sembilan laporan berhubung tindakan mencurigakan itu.
Pemeriksaan mendapati bungkusan berkenaan mengandungi tepung gandum dan pinggan plastik, namun tiada bahan letupan atau bahan berbahaya ditemukan.
Polis kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab serta motif kejadian.