
PORT DICKSON, 17 Oktober – Seramai 1,485 perajurit muda lelaki menamatkan latihan asas ketenteraan Siri 206/26 selama enam bulan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini, hari ini.
- Kadar lulus meningkat kepada 93.8 peratus berbanding 93.2 peratus siri sebelumnya.
- ATM menekankan pembangunan modal insan dan kepakaran teknologi termasuk kecerdasan buatan bagi menghadapi cabaran pertahanan masa hadapan.
- Latihan enam bulan merangkumi kawad, kecergasan fizikal, persenjataan, kemahiran menembak dan ilmu medan perang.
- Lima perajurit menerima pengiktirafan kecemerlangan dalam kategori keseluruhan, ketenteraan, kawad, akademik dan jasmani.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman berkata bilangan tersebut meningkat kepada 93.8 peratus berbanding 93.2 peratus bagi siri sebelumnya.
Beliau berkata peningkatan tersebut membuktikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus memperkukuh pembangunan modal insan bagi melahirkan anggota tentera yang kompeten, profesional dan berdaya tahan.
“ATM kini memberi penekanan terhadap pembangunan kepakaran teknologi seiring usaha membentuk angkatan masa hadapan yang mampu memenuhi keperluan pertahanan negara.
“Cabarannya adalah dari segi bidang teknologi, kecerdasan buatan (AI) termasuk teknologi maklumat. Jadi kita memerlukan sumber manusia
sebagai elemen sokongan dalam pemerintahan gerak gempur ATM,” jelas beliau.
Sepanjang enam bulan latihan bermula 10 April lalu, perajurit muda menjalani pelbagai latihan asas ketenteraan termasuk kawad, kecergasan
fizikal, persenjataan, kemahiran menembak dan ilmu medan perang.
Lima perajurit turut menerima pengiktirafan kecemerlangan dalam kategori keseluruhan, ketenteraan, kawad, akademik dan jasmani.
Penerima Anugerah Keseluruhan Terbaik, Muhammad Akram Syazwan Farizal yang ditemu RTM berkata cabaran selama 6 bulan di PUSASDA mampu diharungi menerusi latihan disiplin yang tinggi.
“Selain itu, solat dan doa daripada ibu bapa penting untuk saya terus bersemangat mengharungi segala cabaran,” tegasnya.
Dalam pada itu, penerima Anugerah Ketenteraan Terbaik, Joanes Charls Febrie berkata pengalaman selama 6 bulan di pusat latihan tersebut amat bermakna kerana ia mengajari beliau untuk mendisiplinkan diri dan terus berjaya ke peringkat seterusnya.
Tiga lagi penerima anugerah lain ialah Muhammad Syahran Hakimi Samsaimun bagi kategori Kawad Terbaik, Mohd Afiq Izzuddin Azman (Akademik Terbaik) dan Mohamad Zaqrul Zakwan Khairul Anuar (Jasmani Terbaik).