
KUALA LUMPUR, 17 Oktober – Sebanyak 95 peratus populasi ikan di Tasik Ampang Hilir terdiri daripada spesies asing, manakala bakinya merupakan ikan tempatan.
- Kerjasama strategik antara kerajaan, sektor swasta, NGO dan komuniti awam diperlukan untuk tangani ancaman spesies asing terhadap ekosistem akuatik.
- Tindakan orang ramai melepaskan ikan peliharaan ke perairan menyumbang kepada penyebaran spesies asing dan perlu dihentikan.
- Kementerian akan perkukuh kawalan melalui Jawatankuasa Pemandu Spesies Invasif, meneliti peraturan dan melaksanakan pemuliharaan ikan tempatan.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Isham Ishak berkata keadaan itu menunjukkan ancaman spesies asing terhadap keseimbangan ekosistem perairan tempatan perlu ditangani secara berterusan.
“Kerajaan, sektor swasta atau badan bukan kerajaan (NGO) mungkin tidak mampu melakukannya secara bersendirian. Sebaliknya, kita memerlukan kerjasama strategik antara kerajaan, sektor swasta, NGO dan yang paling penting ialah komuniti awam.
“Sokongan ini amat diperlukan dan usaha pendidikan perlu dilaksanakan dengan lebih kerap supaya kita dapat memahami keadaan sebenar serta ancaman yang mungkin memberi kesan kepada kita dalam jangka masa panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Memburu Ikan Asing (Mitigasi) Pejabat Perikanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya Tahun 2026 di Tasik Ampang Hilir, hari ini.
Beliau berkata, antara faktor yang menyumbang kepada penyebaran spesies berkenaan ialah tindakan orang ramai melepaskan ikan peliharaan ke tasik, empangan dan kawasan pengairan apabila ikan semakin besar atau tidak lagi mampu dipelihara.
Sehubungan itu, KPKM akan memperkukuh usaha kawalan menerusi Jawatankuasa Pemandu Spesies Invasif termasuk meneliti peraturan sedia ada terhadap spesies yang dikenal pasti mengancam ekosistem tempatan.
“Jawatankuasa Pemandu Spesies Invasif di kementerian akan memperkukuh peraturan sedia ada bagi mengawal spesies berkenaan, termasuk kemungkinan melarang spesies ikan yang dikenal pasti mengancam ekosistem tempatan,” tambah beliau.
Sebanyak 367 ekor ikan asing berjaya ditangkap sepanjang program berkenaan, membabitkan spesies tilapia, lampam jawa, keli Afrika dan ikan bandaraya.
Dalam usaha memulihara sumber perikanan tempatan, sebanyak 32,500 ekor benih ikan dan 11 ekor induk ikan spesies tempatan turut dilepaskan ke perairan umum menerusi kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta Agrobank.
Program itu turut melibatkan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Aquaria KLCC dan Persatuan Pemancing Se-Malaysia bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang ancaman spesies asing terhadap ekosistem akuatik.
“Orang ramai disaran supaya tidak melepaskan ikan peliharaan ke perairan umum bagi mengelak penyebaran spesies asing yang boleh menjejaskan habitat serta populasi ikan tempatan,” tegasnya.