Indeks Pelopor Malaysia naik 0.8 peratus pada Mei, Ekonomi dijangka kekal berdaya tahan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 24 JulaiPenunjuk ekonomi Malaysia bagi Mei 2026 menunjukkan prestasi lebih kukuh apabila Indeks Pelopor (IP) mencatatkan peningkatan 0.8 peratus kepada 114.4 mata berbanding 113.5 mata tempoh sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Indeks Pelopor dipacu oleh peningkatan Penawaran Wang Benar (M1) dan import semikonduktor.
  • Secara bulanan IP susut akibat penyederhanaan import logam asas berharga dan logam bukan ferus, pendaftaran syarikat baru, serta kelulusan unit kediaman.
  • Trend jangka panjang Indeks Pelopor masih terlicin di bawah paras 100 mata.
  • Ekonomi dijangka kekal berdaya tahan disokong permintaan domestik stabil dan kemampuan menyesuaikan diri kepada perubahan global serta teknologi.

DOSM dalam satu kenyataan memaklumkan, peningkatan itu dipacu oleh prestasi positif beberapa komponen terutamanya Penawaran Wang Benar (M1) yang berkembang 9.2 peratus serta Import Benar Semi Konduktor yang meningkat 2.7 peratus.

Prestasi itu selaras dengan kecairan ekonomi yang stabil serta pengembangan aktiviti pengeluaran berkaitan komponen elektronik.

“Bagaimanapun, dari segi bulanan, Indeks Pelopor susut 0.5 peratus pada Mei 2026 berikutan penyederhanaan dalam tiga daripada tujuh komponennya, iaitu Import Benar Logam Asas Berharga dan Logam Bukan Ferus Lain, diikuti Bilangan Syarikat Baharu Didaftar serta Bilangan Unit Kediaman yang Diluluskan Pembinaan” menurut kenyataan sama.

Menurut DOSM, trend jangka panjang terlicin bagi Indeks Pelopor masih berada di bawah paras 100 mata pada Mei 2026.

Namun, ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan disokong oleh permintaan domestik yang stabil serta keupayaan negara menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran global dan perkembangan teknologi semasa.

Sementara itu, Indeks Serentak (IS) yang menggambarkan keadaan ekonomi semasa meningkat 2.5 peratus kepada 131.2 mata pada Mei 2026 berbanding 128.0 mata pada tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan itu disokong oleh pertumbuhan dalam hampir semua komponen, kecuali Kapasiti Penggunaan dalam Pembuatan.

“Namun, secara bulanan, Indeks Serentak menurun 0.3 peratus berikutan penyusutan 0.4 peratus dalam Kapasiti Penggunaan dalam Pembuatan, mencerminkan aktiviti ekonomi semasa yang lebih perlahan susulan ketidakpastian ekonomi global yang masih berterusan,” jelas DOSM.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.