Graduan TVET perlu kuasai AI, perkasa inovasi dan keusahawanan

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra bersama penerima Anugerah Ketua Pengarah graduan Politeknik, Nur Azlina Sitosman (tiga,kanan) pada majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Tengah 2026 di UPSI/Foto BERNAMA

TANJUNG MALIM, 24 September – Penguasaan kecerdasan buatan (AI), data dan teknologi digital perlu menjadi kompetensi asas graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional
(TVET).

RINGKASAN BERITA AI
  • Penguasaan teknologi digital dan data harus disertai kemahiran menyelesaikan masalah, komunikasi dan etika profesional.
  • Politeknik dan Kolej Komuniti perlu perkukuh inovasi gunaan melalui kerjasama rapat dengan industri dan menguji projek dalam keadaan sebenar.
  • Sediakan laluan jelas ke arah pengkomersialan hasil inovasi dan buka lebih banyak peluang untuk graduan membina perusahaan sendiri.
  • Kejayaan graduan seperti pengasas ASZR Legacy membuktikan kemahiran TVET mampu mencipta perniagaan dan peluang pekerjaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penguasaan teknologi perlu disertai kemahiran menyelesaikan masalah,
komunikasi serta pertimbangan beretika.

“Graduan TVET bukan sahaja perlu menggunakan teknologi secara berkesan, malah mesti mampu melakukannya secara beradab dan bertanggungjawab,” katanya.

Beliau menyatakannya ketika berucap merasmikan sidang pertama Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Tengah Tahun 2026 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini.

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid mahu Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) memperkukuh inovasi gunaan bersama industri termasuk menguji projek berpotensi dalam keadaan sebenar sebelum dibawa ke pasaran.

“Kerjasama itu penting bagi memastikan hasil inovasi pelajar mendapat bimbingan dan mempunyai laluan jelas ke arah pengkomersialan.

“Saya turut menggesa lebih banyak peluang dibuka kepada graduan TVET untuk membina perusahaan sendiri, sekali gus mewujudkan pekerjaan dan peluang ekonomi kepada masyarakat,” jelasnya lagi.

Beliau turut memberi contoh kejayaan graduan Kolej Komuniti Ampang, Noor Azree Aiman yang mengasaskan perniagaan pembaikan telefon, ASZR Legacy, sebelum mengembangkan perniagaan dengan membuka dua lagi cawangan.

Menurutnya, kejayaan seumpama itu membuktikan kemahiran TVET mampu menjadi asas kepada pembinaan perniagaan dan penciptaan peluang pekerjaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.