
KUCHING, 24 September – Sebanyak 142 sekolah di daerah Serian dan Lundu ditutup sementara berkuat kuasa serta merta hari ini, selepas Indeks Pencemar Udara (IPU) di dua kawasan berkenaan merekodkan pada tahap sangat tidak sihat.
- 108 sekolah di Serian dan 34 di Lundu ditutup sementara.
- Penutupan selaras Garis Panduan KPM Bil. 8 Tahun 2016 untuk pengurusan pengajaran akibat bencana.
- Guru besar dan pengetua boleh mempertimbang PDPR jika bacaan IPU melebihi 200 demi kesihatan murid.
- Sekiranya trend IPU menurun, pihak sekolah boleh membuat persediaan untuk pembukaan semula.
Daripada jumlah itu, sebanyak 108 sekolah di Serian manakala, 34 sekolah di Lundu.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak menerusi kenyataan memaklumkan, langkah penutupan itu selaras dengan garis panduan dikeluarkan Kementerian Pendidikan.
“Penutupan ini selaras dengan surat siaran Kementerian Pendidikan Bilangan 8 Tahun 2016: Garis Panduan Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran Akibat Bencana.
“Sekolah-sekolah terletak berhampiran daerah yang bacaan IPU melebihi 200, guru besar dan pengetua boleh mempertimbang pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) dengan mengambil kira faktor kesihatan dan keselamatan murid,” menurut jabatan itu menerusi kenyataan.
Dalam pada itu, JPN Sarawak memaklumkan garis panduan turut menyatakan sekiranya trend bacaan IPU menunjukkan penurunan, guru besar dan pengetua boleh mengambil tindakan bagi persediaan pembukaan semula sekolah.
Setakat 10 pagi tadi, IPU di daerah Serian dan Lundu berada pada paras sangat tidak sihat dengan bacaan masing-masing 212 dan 225.