
PUTRAJAYA, 25 Ogos – Gangguan urusan cetakan MyKad di seluruh negara dijangka bermula esok, 26 Ogos hingga 31 Ogos 2026, susulan proses peralihan daripada MyKad struktur sedia ada kepada MyKad Generasi Baharu.
- JPN memaklumkan proses peralihan ke MyKad Generasi Baharu sedang dilaksanakan untuk membolehkan pengeluaran dalam masa terdekat.
- Orang ramai tanpa keperluan mendesak dinasihatkan menangguhkan urusan penukaran atau gantian MyKad sepanjang tempoh gangguan.
- Ibu bapa atau penjaga digalakkan menunggu bagi permohonan MyKad pertama kanak-kanak 12 tahun supaya menerima MyKad generasi baharu.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melalui laman sosialnya di Facebook, memaklumkan proses peralihan itu sedang dilaksanakan bagi membolehkan pengeluaran MyKad Generasi Baharu dalam masa terdekat.
Sehubungan itu, orang ramai yang tidak mempunyai keperluan mendesak untuk membuat penukaran atau gantian MyKad dinasihatkan menangguhkan sementara urusan berkenaan sepanjang tempoh tersebut.
“Bagi permohonan MyKad kali pertama untuk kanak-kanak berusia 12 tahun, ibu bapa atau penjaga juga digalakkan menunggu seketika bagi membolehkan anak menerima MyKad generasi baharu apabila pengeluarannya bermula dalam masa terdekat,” menurut JPN dalam kenyataan hari ini.
JPN menghargai kesabaran dan kerjasama orang ramai sepanjang proses peralihan itu serta memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul.