2,357 anggota PDRM bertugas sempena sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya

Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Datuk Fadil Marsus/ Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan kawalan keselamatan dan lalu lintas secara menyeluruh di ibu negara serta Putrajaya bersempena Sambutan Ambang Merdeka ke-69 dan Hari Kebangsaan 2026, bermula esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • 2,357 pegawai dan anggota PDRM ditugaskan memastikan keselamatan dan kelancaran lalu lintas di Putrajaya sehingga selesai sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos.
  • Penutupan jalan semasa raptai dan sambutan termasuk Persiaran Perdana, Core Island dan beberapa jambatan; laluan terhad pada 28 hingga 31 Ogos.
  • Orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan, guna bas ulang alik percuma, elak terbangkan dron tanpa kebenaran dan patuhi arahan keselamatan.

Seramai 2,357 pegawai dan anggota PDRM ditugaskan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran lalu lintas di Putrajaya, sehingga selesai sambutan Hari Kebangsaan Ke-69, 31 Ogos ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Datuk Fadil Marsus berkata, penugasan itu membabitkan kawalan keselamatan dan trafik di lokasi strategik, kawasan tumpuan awam serta laluan utama menuju ke lokasi sambutan.

“Kehadiran pengunjung pada sambutan kali ini dijangka mencecah 80,000 orang, justeru orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan dan tiba lebih awal,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, menurut beliau penutupan jalan akan dilaksanakan sepanjang raptai bermula esok hingga 28 Ogos.

“Penutupan jalan bagi sesi ‘Raptai Skeleton’ bermula esok hingga Jumaat melibatkan penutupan penuh sepanjang Persiaran Perdana bermula dari Jalan Kemerdekaan hingga Lebuh Bestari.

“Bagi sesi raptai 28 dan 29 Ogos, lapan jalan utama akan ditutup bermula 6 pagi hingga 12 tengah hari iaitu Dataran Putra, Persiaran Perdana, Laman Perdana, Jalan P2a, Jalan P2t, Jalan P2s, Jalan P2w dan Jalan P2y.

“Pada 30 Ogos, penutupan jalan di Putrajaya bermula 5 pagi hingga 6 petang keesokan harinya secara sepenuhnya melibatkan ‘Core Island’ dan beberapa laluan.

“Antara laluan yang terlibat ialah Jambatan Seri Wawasan, Jambatan Seri Saujana, Jambatan Seri Gemilang, Jambatan Putra dan Jambatan Seri Ehsan, manakala hanya Jambatan Seri Bestari dan Jambatan Seri Setia dibuka untuk akses,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan para pengunjung agar merancang perjalanan serta menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam iaitu bas ulang alik secara percuma yang disediakan oleh Perbadanan Putrajaya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menerbangkan dron tanpa kelulusan di Putrajaya yang merupakan kawasan larangan terbang.

Tindakan tegas boleh diambil terhadap pihak yang ingkar mengikut peruntukan Peraturan 143 dan Seksyen 206(3) Peraturan Penerbangan Awam.

Sementara itu, para penduduk setempat dinasihatkan agar tidak cemas dengan bunyi tembakan meriam oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semasa sesi raptai dan hari sambutan.

Sebanyak dua das tembakan akan dilepaskan ketika raptai penuh pada 29 Ogos, manakala 14 das pada hari acara, 31 Ogos, masing-masing pada pukul 8 pagi di Lot 3C1, Presint 3.

Polis turut menasihatkan orang ramai mematuhi arahan keselamatan, tidak membawa barangan terlarang atau berbahaya serta menjaga keselamatan diri, keluarga dan barangan peribadi sepanjang berada di lokasi sambutan.

Sementara itu, di ibu negara, beliau berkata pihak polis akan melaksanakan Ops Pencegahan Jenayah bersempena Sambutan Ambang Merdeka 2026 dengan tumpuan kepada pemantauan kawasan ‘hotspot’, lokasi tumpuan orang ramai serta usaha mencegah dan membanteras jenayah.

“Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL) akan menguruskan kawalan lalu lintas di beberapa lokasi tumpuan utama seperti Dataran Merdeka, KLCC dan Sunway Velocity yang akan menjadi tumpuan pembakaran bunga api dan persembahan dron di Menara Kuala Lumpur,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai kawalan lalu lintas boleh menghubungi talian Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999, Hotline Polis Putrajaya (03-8886 2222) atau Bilik Gerakan JSPT KL (03-2071 9999).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.