Gajah liar masuk kampung, lebih 200 keluarga di Pasir Raja bimbang

Perhilitan menjalankan pemantauan terhadap kumpulan gajah liar di Kg Pasir Raja, Terengganu

DUNGUN, 19 Mei – Lebih 200 keluarga di Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun, Terengganu, kini hidup dalam kebimbangan susulan kehadiran sekumpulan gajah liar yang berkeliaran berhampiran kawasan kediaman mereka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kali pertama dalam kira-kira 30 tahun gajah liar memasuki kawasan kampung, keluar dari hutan berhampiran.
  • Tanaman pisang dan kelapa berhampiran rumah rosak dipercayai akibat gangguan gajah.
  • Penduduk takut keluar rumah pada waktu malam kerana bimbang terserempak dan keselamatan terancam.
  • Aduan disalurkan kepada Perhilitan; pihak berkuasa kini menjalankan pemantauan untuk menghalang gajah masuk semula.

Kejadian itu dilaporkan berlaku pada Khamis lalu apabila kumpulan gajah berkenaan dilihat keluar dari kawasan hutan berhampiran sebelum menghampiri rumah penduduk.

Menurut penduduk, ini merupakan kali pertama gajah liar memasuki kawasan kampung sejak mereka menetap di situ kira-kira 30 tahun lalu. Sebelum ini, haiwan berkenaan hanya dilihat berada di kawasan hutan di seberang sungai.

Penduduk turut mendakwa beberapa tanaman seperti pokok pisang dan kelapa yang ditanam berhampiran rumah telah rosak dipercayai akibat gangguan haiwan liar itu.

Situasi tersebut menyebabkan penduduk takut untuk keluar rumah pada waktu malam kerana bimbang terserempak dengan gajah yang boleh mengancam keselamatan mereka.

Seorang penduduk, Tengku Ariffin Tengku Busu, berkata keadaan itu amat membimbangkan kerana saiz gajah yang besar boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk, terutama ketika mereka sedang tidur.

Sementara itu, Badariah Ahmad berkata, walaupun dia belum pernah melihat gajah itu secara dekat, kesan kehadirannya seperti najis haiwan jelas kelihatan di kawasan kampung.

“Kami memang takut, tambahan pula banyak pokok pisang di belakang rumah,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Shadan Musa, berharap pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera bagi menangani ancaman tersebut demi keselamatan penduduk kampung.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pasir Raja, Mat Yunus Ramli berkata, aduan berhubung kejadian itu telah disalurkan kepada Pejabat Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Daerah Dungun untuk tindakan lanjut.

Menurut beliau, pihak Perhilitan kini sedang menjalankan pemantauan bagi memastikan kumpulan gajah liar itu tidak lagi memasuki kawasan kampung dan perumahan penduduk.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.