Royal Press Office kesan akaun TikTok palsu guna AI hina YDP Agong

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor, atau Royal Press Office, mahu tindakan tegas diambil terhadap pihak yang menghasilkan akaun TikTok palsu bagi memfitnah serta menghina Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

RINGKASAN BERITA AI
  • Akaun TikTok palsu bernama "Sultan Ibrahim Ismail" dikesan menggunakan teknologi AI untuk menyebarkan kandungan menghina Seri Paduka Baginda.
  • Video mendakwa Yang di-Pertuan Agong gemar memakan daging khinzir, dakwaan palsu dan sangat menyentuh sensitiviti agama.
  • Imej muka Seri Paduka dipadankan pada tubuh haiwan, tindakan dianggap menghina serta tidak bertanggungjawab.
  • Perbuatan disifatkan sebagai penghinaan serius berniat jahat; Royal Press Office berharap MCMC mengambil tindakan tegas.

Menurut hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Royal Press Office memaklumkan akaun berkenaan memakai nama “Sultan Ibrahim Ismail” dan dikesan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menyebarkan kandungan berunsur penghinaan terhadap Seri Paduka Baginda.

Antara kandungan dimuat naik ialah video memaparkan dakwaan kononnya Yang di-Pertuan Agong gemar memakan daging khinzir, yang disifatkan sebagai tidak benar serta menyentuh sensitiviti memandangkan Seri Paduka Baginda adalah Raja Melayu dan Ketua Negara beragama Islam.

“Royal Press Office turut melahirkan rasa kesal terhadap satu lagi imej dalam akaun berkenaan yang memaparkan wajah Seri Paduka Baginda dipadankan pada tubuh seekor haiwan, yang jelas bersifat menghina dan tidak bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan perbuatan berkenaan adalah satu penghinaan yang amat serius dan berniat jahat terhadap institusi diraja.

“Sehubungan itu, Royal Press Office amat berharap Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat,” katanya.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.