Lebih dua juta kenderaan dijangka guna rangkaian PLUS bermula Jumaat

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Mei – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan lebih 2.2 juta kenderaan akan menggunakan rangkaian lebuh rayanya bersempena dengan musim cuti berganda yang bermula Jumaat ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hari puncak: 22, 23, 26, 28, 29, 30, 31 Mei (keluar) dan 4, 5, 6, 7 Jun (pulang); LPT2 boleh tambah hingga 50,000 kenderaan sehari.
  • PLUS aktifkan Smart Lane di 33 lokasi, tugaskan lebih 500 anggota PLUSRonda/LPT2Ronda serta buka semua lorong tol dan pantau trafik secara masa nyata.
  • Pengguna dinasihatkan rancang perjalanan awal dan guna MyPLUS-TTA, aplikasi PLUS, PUTRI, X @plustrafik/@lpt2trafik, VMS, radio, Waze atau Google Maps untuk info trafik.

Manakala aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), pula dijangka merekodkan peningkatan sehingga 50,000 kenderaan sehari pada hari puncak.

PLUS menerusi kenyataan memaklumkan, peningkatan ketara aliran trafik tersebut susulan pertembungan cuti pertengahan tahun persekolahan, dengan tiga sambutan utama iaitu Hari Raya Aidiladha, Hari Wesak dan Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Hari-hari puncak dijangka pada 22, 23, 26, 28, 29, 30 dan 31 Mei 2026 bagi kenderaan yang keluar dari Lembah Klang, manakala bagi perjalanan kembali ke Lembah Klang ialah pada 4, 5, 6 dan 7 Jun 2026.

“Pengguna lebuh raya dinasihatkan merancang perjalanan balik ke kampung atau bercuti dengan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan. Orang ramai juga digalakkan merujuk dan mendapatkan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA di aplikasi PLUS,” menurut kenyataan itu.

Bagi memastikan aspek keselamatan dan keselesaan pengguna berada pada tahap terbaik, PLUS akan mengaktifkan Smart Lane di 33 lokasi tumpuan trafik bagi menambah kapasiti lorong, selain menugaskan lebih 500 anggota PLUSRonda dan LPT2Ronda untuk rondaan 24 jam.

Selain itu, PLUS turut mengoptimumkan operasi dan membuka semua lorong di plaza tol, serta memantau trafik masa nyata menerusi Pusat Pemantauan Trafik (TMC).

PLUS melalui kerjasama strategik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta agensi berkaitan, komited membantu melancarkan aliran trafik dan memastikan tahap keselamatan pengguna sentiasa berada pada tahap optimum.

Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi aplikasi PLUS, Pembantu Maya – PUTRI, aplikasi X @plustrafik dan @lpt2trafik, paparan mesej elektronik (VMS) di lokasi terpilih serta saluran stesen radio utama negara.

Pengguna lebuh raya juga dinasihatkan supaya menggunakan aplikasi PLUS, Waze atau Google Maps, untuk merancang perjalanan serta mendapatkan status trafik semasa sepanjang musim perayaan kali ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.