
KUALA LUMPUR, 19 Mei – Lebih 11.2 juta imej bahan arkib berjaya didigitalkan oleh Arkib Negara Malaysia (ANM) setakat April lalu, sebagai usaha berterusan memelihara khazanah sejarah negara dan memperluaskan akses kepada masyarakat.
- Pendigitalan memudahkan capaian bahan arkib dan membantu memelihara dokumen fizikal daripada risiko kerosakan.
- Proses pendigitalan masih berlanjutan kerana melibatkan imbasan, penyuntingan, kawalan kualiti serta penambahan tera air.
- Usaha dilaksanakan secara berperingkat sejak 1997, membolehkan bahan arkib diakses pada bila-bila masa tanpa mengira lokasi.
- ANM memperluas pendekatan digital melalui galeri maya; memorial tokoh negarawan boleh dilawati secara percuma di arkib.gov.my.
Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Perancangan dan Pengurusan) ANM, Shahlin Ali berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja memudahkan capaian bahan arkib, malah penting dalam usaha memelihara dokumen fizikal daripada risiko kerosakan.
Menurut beliau, proses pendigitalan itu masih berjalan dan memerlukan masa.
“Dalam lebih kurang 11.2 juta imej telah berjaya didigitalkan. Proses ini masih berjalan dan memerlukan masa kerana ia bukan sekadar imbasan, tetapi melibatkan penyuntingan, kawalan kualiti serta penambahan tera air,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, Kota Media.
Usaha pendigitalan bahan arkib telah dilaksanakan secara berperingkat sejak 1997, sekali gus membolehkan bahan tersebut diakses pada bila-bila masa tanpa mengira lokasi.
Dalam pada itu, ANM turut memperluaskan pendekatan digital melalui penyediaan galeri maya bagi menarik minat generasi muda menelusuri sejarah negara.
Sebanyak 11 memorial tokoh negarawan di bawah ANM kini boleh dilawati secara maya dan percuma melalui laman web arkib.gov.my.