
SEPANG, 19 Mei – Seramai 21 jemaah Malaysia terpilih menyertai Program Tetamu Raja Arab Saudi 2026 untuk mengerjakan ibadah haji pada tahun ini.
- Kriteria pemilihan mengutamakan sumbangan dakwah, jasa kepada Islam serta hubungan baik dengan Arab Saudi.
- Peserta terdiri daripada golongan akademik, pendakwah serta wakil kementerian dan institusi pengajian tinggi.
- Program berlangsung 14 hari bermula 19 Mei hingga 2 Jun, peruntukan peribadi Raja Salman lebih 20 tahun.
- Kementerian Arab Saudi menanggung tiket, penginapan, makan serta kos Masya'ir Haram bagi peserta program.
Ketua delegasi Program Tetamu Raja Arab Saudi 2026, Datuk Wira Ahmad Tajuddin berkata, kriteria pemilihan program itu mengutamakan mereka yang banyak menyumbang kepada aktiviti dakwah dan syiar Islam.
“Sebenarnya untuk di Malaysia, ia bawah ‘atase’ agama (religious attache’) Kedutaan Diraja apabila peserta dipilih berdasarkan sumbangan, jasa terhadap Islam, dakwah dalam masyarakat dan juga kepada negara.
“Secara umumnya, peserta yang dipilih ialah mereka yang banyak berjasa kepada negara selain mempunyai hubungan baik serta sumbangan kepada Arab Saudi sendiri. Itu antara kriteria utama,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Menurut mursyid bagi delegasi kali ini, Dr Fadlan Mohd Othman setakat tahun lalu kuota jemaah haji Malaysia bagi program ini kira-kira 20 orang berbanding tahun sebelumnya.
“Pada tahun-tahun sebelum ini, jumlahnya agak banyak, kalau tidak silap kira-kira lima atau enam tahun lepas seramai 60 orang. Kita berharap agar pada tahun hadapan, jumlah itu dapat ditingkatkan lagi,” katanya.
Jelasnya, pihak kedutaan Arab Saudi akan memilih individu yang dipercayai banyak menyumbang kepada hubungan baik Malaysia-Arab Saudi selain golongan akademik dan golongan pendakwah.
Mewakili Wisma Putra, Datuk Ahmad Rozian Abdul Ghani berkata beliau dan tujuh lagi rakan sekerja berbesar hati kerana dapat menyertai program berkenaan.
“Peluang ini bukanlah peluang yang mudah untuk kita capai dan insya-Allah kami kana cuba sebaiknya untuk memanfaatkan dan memberi fokus kepada ibadah haji tahun ini,” katanya.
Bagi Prof Madya Dr. Hazman Hassan pula, program tersebut amat bermakna dan beliau meluahkan rasa syukur atas peluang yang diberikan.
“Saya difahamkan peluang yang diberikan ini agak terhad. Oleh itu, kami amat bersyukur dan menjunjung kasih ke hadapan baginda,” katanya.
Sementara itu Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Mohd Faizulamri Mohd Saad pula antara golongan akademik yang turut serta dalam program berkenaan.
“Pada kali ini, alhamdulillah kami menerima jemputan, rezeki menunaikan haji yang tidak disangka-sangka. Kami amat bersyukur dan gembira dengan peluang yang diberikan,” katanya.
Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim menyifatkan program ini menggambarkan hubungan erat antara kedua kerajaan Malaysia-Arab Saudi.
“Ini menggambarkan hubungan akrab antara Malaysia dan Arab Saudi. Di UTM, kita mempunyai ramai mahasiswa dari Arab Saudi dan kita memberi layanan yang baik kepada mereka.
“Saya berharap dengan ukhuwah yang baik ini, kita dapat terus memperkasakan bidang pendidikan antara kedua-dua negara,” katanya.
Ketua Pegawai Khas Menteri Besar Pahang, Hamizi Yaakub berkata beliau tidak pernah terlintas untuk menyertai program tersebut.
“Saya juga terkejut apabila dimaklumkan pada saat akhir bahawa kami dalam kalangan 21 orang ini menerima jemputan daripada Raja Salman sendiri,” katanya.
Program Tetamu Raja Arab Saudi 2026 itu akan berlangsung selama 14 hari bermula 19 Mei sehingga 2 Jun dan ia merupakan peruntukan peribadi Raja Salman sejak lebih 20 tahun.
Kementerian Hal Ehwal Agama, dakwah dan bimbingan Arab Saudi bertindak mengendalikan program itu menawarkan tiket kapal terbang, kos penginapan, keperluan makan minum serta kos
Masya’ir Haram membabitkan sebahagian amalan dalam ibadah suci berkenaan.
Program itu turut menghimpunkan jemaah dari seluruh dunia untuk saling bertukar pandangan tentang Islam sekali gus mengeratkan silaturahim sesama umat Islam.