
PETALING JAYA, 19 Mei – Penglibatan golongan sasterawan amat penting dalam membantu masyarakat memahami isu semasa termasuk krisis tenaga global dan cabaran geopolitik menerusi penggunaan bahasa yang lebih dekat dengan masyarakat.
- Peranan sasterawan bantu masyarakat menilai maklumat dalam era lambakan maklumat tidak sahih di media sosial.
- Sasterawan wujudkan ruang untuk masyarakat berhenti, memahami isu melalui penyampaian baik dan berhemah.
- Kegagalan mendidik boleh menyebabkan tindakan melulu, keputusan tanpa pertimbangan, mengancam keharmonian sosial.
- Permukiman Sasterawan dan Karyawan bincang peranan perpustakaan serta mekanisme jangka pendek dan panjang hidupkan sastera dan ketamadunan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata peranan itu dilihat semakin penting ketika masyarakat berdepan lambakan maklumat tidak sahih di media sosial yang boleh mempengaruhi cara pemikiran serta tindakan orang ramai.
Sehubungan itu, peranan yang dimainkan golongan sasterawan dilihat mampu menjadi medium dalam membantu rakyat menilai sesuatu isu secara lebih tenang dan rasional.
“Saya percaya sasterawan boleh mewujudkan ruang untuk masyarakat berhenti seketika, seterusnya memahami sesuatu perkara melalui penyampaian yang baik dan berhemah.
“Jika perkara ini dibiarkan berterusan, kita mungkin berdepan dengan masyarakat yang bertindak melulu serta membuat keputusan tanpa pertimbangan matang sehingga boleh menjejaskan keharmonian sosial dan kehidupan yang ingin kita bina bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Permukiman Sasterawan dan Karyawan 2026 di sini, pada Isnin.
Menurut Datuk Seri Amirudin, sasterawan lebih mengetahui pendekatan lebih baik untuk mendidik masyarakat supaya mereka bijak dalam menilai sesuatu isu yang berlaku.
Majlis Permukiman Sasterawan dan Karyawan 2026 menghimpunkan seramai tujuh orang Sasterawan Negara dan 15 orang karyawan. Ia turut disertai pemain industri dan wakil dari perpustakaan.
Permukiman itu bertujuan membincangkan peranan perpustakaan bagi mengangkat dan menghidupkan sastera tanah air melalui mekanisme yang boleh dilaksanakan dalam jangka pendek dan panjang demi mengangkat ketamadunan bangsa.