Pembangunan sukan, kebajikan atlet kekal jadi keutamaan – PM

Datuk Seri Anwar ketika berucap pada majlis ASN 2025 di ibu negara./RTM

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Aspek pembangunan sukan dan kebajikan atlet kekal menjadi keutamaan kerajaan meskipun berdepan cabaran ekonomi global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri menegaskan komitmen kerajaan terhadap sukan semasa ucapan di Anugerah Sukan Negara 2025.
  • Jaminan tiada potongan untuk acara, kegiatan dan kebajikan atlet walau berdepan kegawatan kewangan.
  • Pencapaian sukan negara melepasi sasaran, mencerminkan disiplin dan semangat atlet membawa kejayaan.
  • Sukan dianggap medium penyatuan negara, disokong penyertaan menyeluruh serta usaha mencapai kecemerlangan.

Komitmen itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2025 yang berlangsung di sini, hari ini.

“Kita mahu tekankan bahawa kebajikan para atlet perlu diberi tumpuan sekiranya mahu menjayakan sukan. Aspek ini faktor nombor satu. Kemudahan yang disediakan perlu lebih selesa, lebih mudah dan tempat latihan lebih baik.

“Justeru, saya memberi jaminan meskipun berdepan kegawatan kewangan, acara, kegiatan dan kebajikan sukan tetap kita pelihara sepenuhnya. Tiada potongan,” katanya.

Perdana Menteri turut menyifatkan pencapaian sukan negara membanggakan kerana sering melepasi sasaran ditetapkan, sekali gus membuktikan disiplin dan semangat atlet mampu membawa kejayaan lebih besar kepada negara.

Dalam pada itu, beliau dalam ucapan sama menekankan peranan sukan yang menjadi medium penting menyatukan rakyat serta membina masyarakat yang lebih inklusif.

Perdana Menteri tegaskan, kekuatan sukan terletak pada dua aspek utama, iaitu penyertaan rakyat secara menyeluruh dan usaha mencapai kecemerlangan.

“Penyertaan dan sokongan itu spontan. Istimewanya, sokongan itu datang tanpa mengira siapa yang menyumbangkan gol atau mata kemenangan. Penyokong tidak mengira keturunan atau kaum atlet terlibat.

“Malah ada kajian akademik sosiologi yang menunjukkan (hampir semua berpendapat) bahawa satu-satunya kerangka untuk menyatukan rakyat adalah melalui kegiatan sukan olahraga. Jadi, para atlet mempunyai peranan (penyatuan) itu,” jelasnya.

ASN 2025 menyaksikan pemain badminton beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.