
KUALA LUMPUR, 22 Mac – Fenomena ‘fear of missing out’ (FOMO) dikenal pasti antara faktor utama yang mendorong pembelian panik dalam kalangan orang ramai susulan ketidaktentuan global termasuk konflik di Asia Barat.
- Jangan terpengaruh spekulasi tidak sahih di media sosial; rujuk maklumat rasmi mengenai stok dan rantaian bekalan.
- Beli mengikut keperluan: sediakan senarai, semak stok di rumah untuk elak pembaziran dan pembelian panik.
- Berjimat dan mulakan simpanan; sokong produk tempatan dan elak menjejaskan golongan memerlukan.
Pakar Tingkah Laku Pengguna Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Bamini KPD Balakrishnan berkata orang ramai perlu bertindak rasional dan tidak mudah terpengaruh dengan spekulasi tidak sahih di media sosial.
“Jangan bebani diri dengan spekulasi yang tidak relevan dan tidak sahih. Kita ada kementerian berkaitan yang boleh memberi maklumat tepat mengenai stok dan rantaian bekalan di Malaysia.
“Terimalah maklumat sahih dan kurangkan tekanan supaya kita tidak melakukan pembelian panik kerana ia boleh mencetuskan kenaikan harga akibat permintaan berlebihan dan kekurangan stok,” katanya.
Beliau berkata FOMO sering berlaku khususnya melalui promosi jualan dalam talian yang menekan pengguna untuk membuat keputusan pembelian dalam tempoh masa terhad.
Sehubungan itu, Dr. Bamini menasihatkan orang ramai supaya membeli mengikut keperluan, menyediakan senarai barangan sebelum ke kedai serta menyemak stok sedia ada di rumah bagi mengelakkan pembaziran.
Beliau turut mendedahkan kajian menunjukkan kira-kira 70 peratus rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan kewangan yang lestari.
“Penting untuk kita berjimat dan mula menyimpan demi kestabilan kewangan diri serta keluarga,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menggalakkan orang ramai menyokong produk tempatan serta memastikan setiap pembelian tidak menjejaskan golongan lebih memerlukan seperti warga emas dan orang kurang upaya.
Konflik di Asia Barat bukan sahaja memberi kesan kepada geopolitik dunia, malah berpotensi mempengaruhi tingkah laku perbelanjaan.
Justeru orang ramai perlu kekal tenang, bijak berbelanja dan mengutamakan kepentingan bersama.