El-Nino: NRES diarah selaras libat urus dengan kerajaan negeri

Foto BERNAMA 

PUTRAJAYA, 11 Jun – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) diarah supaya menyelaras sesi libat urus dan taklimat berkaitan risiko fenomena El-Nino kepada semua kerajaan negeri bagi memastikan langkah persediaan awal dapat dilaksanakan.

RINGKASAN BERITA AI
  • El-Nino dijangka bermula bulan ini sehingga pertengahan 2027, membawa cuaca lebih panas dan pengurangan taburan hujan ketara, hingga 40–60% di beberapa negeri.
  • Risiko: gangguan bekalan air, peningkatan jerebu, tekanan kesihatan awam, pengurangan hasil tanaman dan kesan negatif kepada ekonomi kerana permintaan tenaga meningkat.
  • Jabatan Meteorologi aktif 24 jam, hebahan amaran, sistem penarafan bahaya kebakaran dan kesiapsiagaan untuk operasi pembenihan awan jika perlu; MTEN memantau rapat.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir memaklumkan, perkara itu diputuskan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini susulan kebimbangan terhadap impak El-Nino yang dijangka bermula bulan ini dan berterusan sekurang-kurangnya sehingga pertengahan 2027.

“Oleh kerana fenomena ini turut akan memberi kesan tambahan kepada krisis tenaga yang sedang berlaku, maka perkara ini telah dibawa untuk perhatian MTEN.

“El-Nino berpotensi membawa cuaca lebih panas serta pengurangan taburan hujan yang ketara, termasuk sehingga 40 hingga 60 peratus di beberapa negeri,” katanya pada Taklimat Krisis Bekalan Global di sini hari ini.

Katanya, keadaan itu berisiko menjejaskan bekalan air, meningkatkan kemungkinan berlakunya jerebu, memberi tekanan kepada kesihatan awam dan menjejaskan pengeluaran tanaman makanan serta komoditi.

Peningkatan permintaan tenaga akibat cuaca panas berpanjangan turut berpotensi memberi kesan kepada ekonomi makro secara keseluruhan.

“Pengalaman sebelum ini menunjukkan kesan El-Nino boleh menjadi besar. Pada tahun 2015 dan 2016, suhu tinggi melebihi 37 darjah celcius telah menyebabkan penutupan 250 sekolah di utara Semenanjung Malaysia.

“Industri kelapa sawit turut mencatatkan kemerosotan pengeluaran sekitar 16 hingga 18 peratus dalam tempoh tersebut,” katanya.

Jelasnya, sektor komoditi utama juga dijangka terkesan dengan pengurangan hasil tanaman secara purata antara lapan hingga 10 peratus sekiranya fenomena itu berlaku.

“MTEN akan terus memantau perkembangan ini secara dekat dan berterusan.

“Jabatan Meteorologi Malaysia juga telah mengaktifkan langkah kesiapsiagaan awal termasuk pemantauan cuaca 24 jam, hebahan amaran cuaca, penyediaan sistem penarafan bahaya kebakaran dan kesiapsiagaan untuk melaksanakan Operasi Pembenihan Awan sekiranya keadaan mendesak,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.