
KUALA LUMPUR, 29 Jun – Malaysia kekal komited mengekalkan hubungan kerjasama dengan Thailand menerusi semua jaringan diplomatik dalam operasi keselamatan antara agensi penguatkuasaan khususnya di sempadan negara.
- Mekanisme dua hala akan diguna pakai untuk isu eksploitasi dan pencerobohan sempadan.
- KDN melaksanakan pencegahan serentak melalui agensi bawahnya dan operasi rentas kementerian.
- Rondaan dan operasi penguatkuasaan diperkuat, termasuk kerjasama dengan komuniti maritim dan nelayan.
- Program kerjasama dengan nelayan ditingkatkan untuk mendapatkan maklumat awal bagi keselamatan sempadan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata mekanisme dua hala sedia ada akan diguna pakai jika berlaku sebarang isu berbangkit termasuk dalam eksploitasi dan pencerobohan sempadan.
“Saya percaya kedua-dua negara memang berusaha untuk tingkatkan keselamatan dan menjaga kepentingan masing-masing.
Kalau kita lihat isu ini, KDN melalui agensi di bawahnya melaksanakan pencegahan secara serentak dan melaksanakan kegiatan melalui agensi di bawah KDN sendiri dan juga rentas kementerian,” katanya.
Tambah beliau, selain melaksanakan rondaan dan operasi penguatkuasaan, kerjasama dengan komuniti maritim termasuk nelayan turut diperkukuh melalui pelbagai program kerjasama dalam usaha mendapatkan maklumat awal.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa di Dewan Rakyat hari ini.