MOT jamin kapasiti tren LRT3 Shah Alam mencukupi

Datuk Hasbi Habibollah

KUALA LUMPUR, 29 Jun – Kementerian Pengangkutan memberi jaminan bahawa kapasiti tren bagi Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Shah Alam mencukupi meskipun projek itu melalui semakan kos dan pengurangan spesifikasi pada 2018.

RINGKASAN BERITA AI
  • Unjuran penumpang: 67,000 sehari (2026); 126,000 (2030); 219,100 (2040).
  • Kapasiti semasa 223,560 penumpang sehari mencukupi mengikut unjuran pada 2040.
  • Timbalan Menteri Datuk Hasbi menjawab soalan Ahli Parlimen Permatang Pauh di Dewan Rakyat.
  • Perancangan fasa kedua melibatkan lima stesen tambahan dan tujuh set tren untuk tingkatkan kapasiti.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah memaklumkan, LRT3 dijangka merekodkan sehingga 67,000 penumpang sehari pada tahun pertama operasi dan dijangka meningkat kepada 126,000 penumpang sehari menjelang 2030.

“Pada masa ini unjuran adalah 67,000 penumpang sehari pada 2026, meningkat kepada 126,000 pada 2030 dan 219,100 pada 2040. Kapasiti yang ada hari ini ialah 223,560 penumpang sehari, bersamaan dengan unjuran keperluan pada 2040,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohammad Jan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata unjuran kapasiti penumpang telah diambil kira dalam kajian semula projek yang dilaksanakan pada 2018, dan kapasiti semasa diyakini mencukupi untuk menampung pertumbuhan jumlah penumpang yang dijangkakan.

Datuk Hasbi turut memaklumkan kerajaan mempunyai perancangan fasa kedua projek LRT3 yang melibatkan pembinaan lima stesen tambahan serta penambahan tujuh set tren bagi meningkatkan kapasiti apabila diperlukan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.