
KUALA LUMPUR, 29 Jun – Kementerian Kesihatan (KKM) bercadang memperluas penggunaan pusat rehabilitasi milik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada semua pesakit, termasuk kanak-kanak yang menghidap Cerebral Palsy (CP), bagi mengatasi kekangan kapasiti perkhidmatan rehabilitasi sedia ada.
- Perbincangan lanjut antara KKM dan Kementerian Sumber Manusia untuk laksanakan HSOP memanfaatkan fasiliti rehabilitasi PERKESO.
- Fasiliti PERKESO kini terhad kepada pencarum menurut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969; perkhidmatan KKM di bawah Akta 586.
- KKM menyediakan saringan, intervensi awal, rawatan rehabilitasi, pendidikan keluarga, latihan penjagaan rumah dan penyediaan alat bantuan; bantuan kewangan CP di bawah JKM.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, cadangan itu akan dilaksanakan menerusi perbincangan lanjut antara KKM dan Kementerian Sumber Manusia.
“Saya mencadangkan supaya kita segera meneruskan perbincangan itu. Hari ini, kita mempunyai Health Services Outsourcing Programme (HSOP), melalui program ini, kita dapat memanfaatkan segala fasiliti rehabilitasi PERKESO yang bertaraf dunia.
“Bukan sahaja untuk pencarum, malah turut memberi rawatan kepada pesakit lain, bukan terhad kepada pencarum sahaja,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii, yang mencadangkan pindaan undang-undang bagi membolehkan pusat rehabilitasi PERKESO digunakan oleh pesakit KKM, selain mencadangkan penubuhan National Cerebral Palsy Registry bagi memperkukuh pemantauan kes serta perancangan perkhidmatan.
Ketika ini kemudahan rehabilitasi PERKESO hanya boleh dimanfaatkan oleh pencarum berdasarkan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), manakala perkhidmatan kesihatan KKM tertakluk bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).
Terdahulu, Datuk Seri Dr Dzulkefly memaklumkan, CP ialah gangguan perkembangan saraf kekal yang menjejaskan pergerakan, koordinasi otot, keseimbangan dan postur badan akibat perkembangan otak yang tidak normal atau kerosakan otak ketika proses pembesaran.
Keadaan itu boleh berlaku sebelum kelahiran, ketika proses kelahiran atau selepas kelahiran, namun tidak semua pesakit mengalami gangguan fungsi kognitif. Sejak 2016, seramai 1,076 pesakit CP direkodkan menerima intervensi awal di klinik kesihatan seluruh negara.
KKM menyediakan pelbagai bentuk sokongan termasuk saringan perkembangan berkala, intervensi awal, rawatan rehabilitasi, pendidikan kesihatan kepada keluarga, latihan penjagaan di rumah serta penyediaan alat bantuan rehabilitasi berdasarkan penilaian klinikal.
Bagaimanapun, bantuan kewangan khusus kepada pesakit CP berada bawah bidang kuasa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), manakala KKM membantu melalui Tabung Bantuan Perubatan dan Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia, selain memudahkan akses kepada bantuan NGO bagi pesakit yang tidak memenuhi syarat kelayakan.