Tingkat budaya menabung untuk pendidikan

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Mulakan tabungan pendidikan sejak awal, konsisten setiap bulan; nilai kecil tetap bermakna jika berterusan.
  • Rebut peluang Simpan SSPN PTPTN: pelepasan cukai, takaful percuma, geran sepadan, dividen kompetitif dan jaminan kerajaan.
  • Amalkan strategi praktikal: tetapkan simpanan wajib, kurangkan perbelanjaan kecil, gunakan bonus dan libatkan anak menabung.

Saban tahun ketika musim pendaftaran masuk ke universiti kita akan disajikan dengan kisah kesukaran sekelompok bakal mahasiswa yang berhadapan dengan masalah kewangan untuk menyambung pengajian.

Ini berlaku hampir setiap tahun membabitkan anak-anak cemerlang dari keluarga yang kurang berkemampuan, berada dalam kategori keluarga berpendapatan rendah (B40) mahupun berasal dari keluarga yang hidup umpama kais pagi makan pagi, dan kais petang makan petang.

Dalam konteks ini kita bersyukur kerana pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan agensi lain menyediakan pelbagai bantuan kewangan untuk memudahkan urusan pendaftaran masuk anak-anak seperti ini ke universiti tanpa sebarang masalah.

Malah sistem daftar dulu dan bayar kemudian yang diamalkan oleh setiap universiti awam juga banyak membantu keluarga yang kurang berkemampuan ini.

Hakikatnya kos yang perlu ditanggung oleh setiap keluarga dalam memastikan anak masing-masing meneruskan pengajian khususnya membabitkan keperluan perbelanjaan harian mahasiswa tetap tinggi.

Justeru ibu bapa perlu meningkatkan budaya menabung sebagai persediaan awal bagi membiayai pendidikan anak-anak. Ironinya setiap ibu bapa perlu sedar keperluan dan kepentingan tabungan pendidikan yang wajar dimulakan lebih awal sebagai persediaan masa depan.

Terdapat pelbagai produk simpanan tabung pendidikan di pasaran, dan antara yang sentiasa tampil dengan pelbagai inisiatif baharu ialah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi Simpanan SSPN.

Sebagai agensi di bawah KPT, PTPTN dilihat secara konsisten melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkasa dan meningkatkan tahap kesedaran anggota masyarakat terhadap kepentingan menabung untuk masa depan pendidikan anak-anak, sekali gus boleh mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan.

Antara program ikonik PTPTN ialah Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) yang dianjurkan bersempena dengan sambutan Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun.

Program tahun ini dianjurkan dengan tema “Di bawah lautan” yang menggambarkan perjalanan membina tabiat menabung dan merancang kewangan bagi merealisasikan impian pendidikan anak-anak.

Program pada tahun ini menyasarkan terimaan deposit Simpan SSPN sebanyak RM250 juta sepanjang penganjurannya dari 25 September hingga 1 November ini.

Secara umunya, Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada anggota masyarakat seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun juga perlindungan takaful percuma ke atas pendeposit.

Tawaran lain turut merangkumi Geran Sepadan sehingga RM10,000 secara percuma bagi satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, patuh syariah dan simpanan yang dijamin kerajaan.

Justeru para ibu bapa perlu merebut peluang yang disediakan ini untuk segera membuka akaun simpana SSPN selain memperkasa budaya menabung secara konsisten secara bulanan mengikut kemampuan masing-masing.

Tuntasnya, bukan nilai simpanan setiap bulan menjadi ukuran tetapi sejauhmana kita konsisten menabung agar jumah yang terkumpul itu nanti mampu membantu pembiayaan pendidikan anak bila sampai masanya kelak.

Untuk itu tabungan perlu bermula seawal usia kelahiran anak agar kita mampu mengumpul jumlah tabungan yang diperlukan.

Hakikatnya, simpanan dan tabungan dalam bidang pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang yang amat penting bagi melahirkan modal insan negara yang berkualiti, berpengetahuan serta mampu bersaing dalam era digital.

Jadi persoalannya bagaimana kita boleh konsisten menabung pada setiap bulan? Ini adalah cabaran terbesar setiap keluarga, khususnya yang berada dalam kategori B40 tatkala ramai yang terus bergelut untuk kelangsungan hidup apabila dicengkam dengan peningkatan kos sara hidup secara mendadak.

Hakikatnya, tabungan pendidikan sudah menjadi stau keperluan yang mendesak, maka dicadangan setiap keluarga khususnya yang kurang berkemampuan bermula dengan jumlah simpanan yang kecil tetapi simpan secara konsisten.

Budaya menabung tidak semestinya perlu bermula dengan jumlah yang besar, sebaliknya setiap keluarga boleh menetapkan jumlah yang kecil tetapi mampu dilakukan secara konsisten setiap bulan.

Sama ada RM10, RM20 atau RM50, jumlah tersebut mungkin kelihatan kecil, namun jika dilakukan secara berterusan dalam tempoh yang panjang, ia tetap akan membentuk satu tabungan yang boleh membantu apabila anak melanjutkan pengajian kelak.

Prinsipnya mudah iaitu jangan tunggu mempunyai lebihan wang untuk memulakan tabungan kerana lebihan itu
mungkin tidak pernah ada.

Pada masa yang sama, ibu bapa juga boleh menjadikan tabungan pendidikan sebagai satu bentuk perbelanjaan wajib apabila setiap kali menerima gaji bulanan.

Jika selama ini bayaran bil, ansuran kereta atau pinjaman perumahan serta keperluan rumah didahulukan, maka sudah tiba masanya untuk tabungan pendidikan juga wajar diberikan keutamaan dengan mengasingkan sejumlah wang terlebih dahulu sebelum dibelanjakan untuk keperluan lain.

Cara ini lebih berkesan berbanding menunggu sehingga hujung bulan untuk melihat sama ada masih ada wang yang boleh disimpan.

Satu lagi cara yang boleh diamalkan ialah menukar sebahagian perbelanjaan kecil kepada tabungan pendidikan.

Tidak semestinya kita perlu mengubah gaya hidup secara drastik, sebaliknya cuba kenal pasti perbelanjaan yang boleh dikurangkan seperti pembelian secara impulsif, budaya makan atau minum di luar serta perbelanjaan kecil yang kerap dilakukan tanpa dirancang.

Penjimatan seperti ini walau berapapun nilainya tetap akan memberi makna yang besar jika boleh digunakan untuk tabung pendidikan.

Selain wang daripada pendapatan bulanan, sebahagian daripada pendapatan atau wang tambahan yang diterima juga boleh dimanfaatkan untuk tujuan ini.

Misalnya, kita juga boleh mengasingan sebahagian daripada pendapatan tambahan seperti bonus, duit raya, bayaran kerja sambilan, tuntutan atau pendapatan sampingan lain untuk tabungan pendidikan anak.

Tidak perlu semuanya kerana keperluan lain tetap perlu diberikan perhatian. Memadai jika keluarga menetapkan satu jumlah atau peratusan tertentu daripada wang tambahan tersebut untuk dimasukkan ke dalam tabungan.

Satu prinsip penting di sini ialah, budaya menabung untuk pendidikan perlu dipupuk menjadi amalan seluruh ahli keluarga dan bukan tanggungjawab ibu bapa semata-mata.

Anak-anak juga boleh dilibatkan dengan cara menggalakkan mereka menyimpan sebahagian daripada wang saku, duit raya atau wang yang diterima sebagai hadiah.

Langkah kecil ini bukan sahaja membantu menambah tabungan, malah mendidik anak supaya memahami bahawa pendidikan dan masa depan memerlukan perancangan, disiplin serta pengorbanan.

Hakikatnya, tidak ada satu jumlah yang sesuai untuk semua keluarga kerana kemampuan kewangan setiap orang berbeza. Apa yang lebih penting ialah kesungguhan untuk bermula dan disiplin untuk terus menyimpan walaupun dalam jumlah yang kecil.

Dalam mendepani cabaran peningkatan kos sara hidup, kita mungkin tidak mampu menyediakan tabungan yang besar dalam masa singkat, tetapi kita masih boleh menyediakan sedikit demi sedikit untuk masa depan.

Bak kata pepatah, sedikit demi sedikit, lama-lama menjadi bukit. Jika budaya ini dapat dibentuk sejak anak masih kecil, kita bukan sahaja sedang menyediakan tabungan untuk pendidikan mereka, malah sedang membina generasi yang lebih celik kewangan dan bijak merancang masa depan.

Tuntasnya, menabung untuk pendidikan anak bukan soal berapa banyak yang mampu disimpan, tetapi sejauh mana kita bersedia merancang dan melakukannya secara konsisten.

Dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat, sedikit simpanan yang dimulakan hari ini boleh menjadi bekalan yang amat bermakna ketika anak melangkah ke alam pengajian tinggi kelak.

Pelbagai kemudahan seperti Simpan SSPN yang disediakan PTPTN juga wajar dimanfaatkan sebagai sebahagian daripada usaha membina budaya menabung untuk masa depan pendidikan anak-anak.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Noor Mohamad Bin Shakil Hameed
Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat)
Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat
Universiti Putra Malaysia
E-mel: nmohd77@upm.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.