Dua projek naik taraf bekas jalan balak di Sarawak bernilai RM414 juta diluluskan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah meluluskan dua projek menaik taraf bekas jalan balak di Sarawak; melibatkan kos keseluruhan RM414 juta di bawah Program Jalan Luar Bandar (JLB).

RINGKASAN BERITA AI
  • Lapok ke Long Ayer Fasa 1 dan Lapok ke Long Teran (Baram) RM231 juta; Nanga Meluan ke Nanga Maung (Sarikei) RM183 juta.
  • Projek Baram dilaksanakan JKR Sarawak; kini pada penilaian Tender Terbuka Pra-Kelayakan selepas penutupan tender pertama 19 Mei.
  • Projek Nanga Meluan ke Nanga Maung pada peringkat kedua Tender Terbuka Pra-Kelayakan; pelawaan 27 Jun 2026, tutup 15 Sept 2026.
  • Kerjasama Persekutuan dan Negeri: Persekutuan membiayai naik taraf, negeri tentukan keutamaan dan ambil alih penyelenggaraan selepas pendaftaran jalan melalui MARRIS.

Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata, kedua-dua projek berkenaan diluluskan pada 2024, melibatkan Projek Menaik Taraf Bekas Jalan Balak dari Lapok ke Long Ayer Fasa 1, Lapok ke Long Teran di Baram, Bahagian Miri bernilai RM231 juta, serta Projek Menaik Taraf Bekas Jalan Balak dari Nanga Meluan ke Nanga Maung di Bahagian Sarikei bernilai RM183 juta.

Kedua-dua projek itu dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dengan projek di Baram kini berada pada peringkat penilaian tender terbuka pra-kelayakan selepas peringkat pertama tender ditutup pada 19 Mei lalu.

“Manakala bagi projek menaik taraf bekas jalan balak dari Nanga Meluan ke Nanga Maung, Bahagian Sarikei pula, ia sedang berada dalam peringkat kedua tender terbuka pra-kelayakan, dengan pelawaan telah dibuat pada 27 Jun 2026 dan akan ditutup pada 15 September 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator, Abun Sui Anyit di Dewan Negara, hari ini.

Menjawab soalan tambahan di Dewan Negara, Datuk Rubiah menjelaskan KKDW tidak melaksanakan kerja menaik taraf jalan balak yang masih aktif kerana laluan tersebut masih di bawah kawalan syarikat pemegang konsesi serta Kerajaan Sarawak.

Katanya, jalan balak yang masih aktif diselenggara oleh syarikat konsesi, manakala jalan balak yang tidak lagi digunakan diselenggara oleh kerajaan negeri bagi memastikan akses penduduk pedalaman terus terpelihara.

“Jalan balak yang tidak lagi aktif boleh dipertimbangkan untuk dinaik taraf mengikut piawaian JKR di bawah Program Jalan Luar Bandar berdasarkan keutamaan yang dikemukakan Kerajaan Sarawak.

“Selepas siap, jalan berkenaan akan didaftarkan sebagai jalan negeri dan kerja penyelenggaraan dibiayai melalui peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) yang disalurkan Kerajaan Persekutuan menerusi kerajaan Negeri,” katanya.

Datuk Rubiah turut menjelaskan mekanisme kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam pelaksanaan projek berkenaan telah lama dilaksanakan, dengan Kerajaan Persekutuan membiayai kerja-kerja menaik taraf, manakala kerajaan negeri menentukan keutamaan projek serta mengambil alih penyelenggaraan selepas jalan didaftarkan sebagai jalan negeri.

Sejak Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), beliau berkata KKDW telah meluluskan 23 projek menaik taraf bekas jalan balak di seluruh Sarawak, melibatkan kos RM1.525 bilion, sekali gus menaik taraf kira-kira 545 kilometer bekas jalan balak.

Beliau menegaskan, tiada cadangan mekanisme pembiayaan bersama baharu ketika ini, sebaliknya KKDW akan terus mempertimbangkan permohonan projek yang dikemukakan Kerajaan Negeri berdasarkan keutamaan dan kemampuan kewangan semasa Kerajaan Persekutuan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.