Peruntukan rawatan penyakit jarang jumpa dinaikkan kepada RM42 juta – KKM

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Kementerian Kesihatan (KKM) meningkatkan peruntukan tahunan bagi pembiayaan kos perubatan dan rawatan penyakit jarang jumpa (rare diseases) kepada RM42 juta pada tahun ini berbanding RM25 juta yang disediakan pada 2024.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dana ditingkatkan bagi menyokong kos rawatan pesakit yang dianggarkan RM100,000 hingga RM1 juta setiap pesakit.
  • Tabung Amanah Penyakit Jarang Jumpa ditubuhkan dan diselaraskan Hospital Tunku Azizah sejak 2022; penderma layak mendapat insentif potongan cukai.
  • Malaysian Orphan Medicine Guide 2020 dan NPRA mempercepat kelulusan ubat; 26 ubat berkaitan berjaya didaftarkan sehingga April 2026.
  • Perkhidmatan diagnostik genetik diperkasa: Pusat Rujukan Genetik HKL, luaskan rujukan ke Pulau Pinang sejak 2019 dan jalin kerjasama antarabangsa.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, peningkatan dana itu bagi menyokong kos rawatan pesakit yang dianggarkan menelan belanja serendah RM100,000 sehingga RM1 juta bagi seorang pesakit.

Beliau berkata, KKM turut mengukuhkan sumber kewangan menerusi penubuhan Tabung Amanah Penyakit Jarang Jumpa yang diselaraskan oleh Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur sejak 2022, iaitu penyumbang yang layak diberikan insentif potongan cukai.

“KKM telah membangunkan Malaysian Orphan Medicine Guide 2020 yang memperincikan prosedur dan kriteria penilaian ubat baharu di bawah penilaian Jawatankuasa Penilaian Ubat Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Pematuhan pembekalan ubat mengikut garis panduan ini membolehkan kelulusan ubat yang selamat dan berkesan dipercepatkan. Hasilnya, sebanyak 26 ubat berkaitan telah berjaya didaftarkan sehingga April 2026, berbanding tiada produk yang didaftarkan sebelum tahun 2022,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Isaiah a/l D. Jacob, mengenai langkah-langkah kerajaan dalam memperkukuh dasar, pembiayaan dan rawatan bagi pesakit penyakit jarang jumpa di negara ini.

Mengulas lanjut mengenai fasiliti diagnostik genetik, Datuk Hanifah memaklumkan, selain Pusat Rujukan Genetik Kebangsaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), KKM telah memperluas perkhidmatan rujukan ke Hospital Pulau Pinang sejak 2019 bagi menampung keperluan zon utara.

“Diagnosis genetik menuntut kos yang amat tinggi, di mana kita turut memohon bantuan fasiliti antarabangsa bagi mengesahkan kes-kes tertentu.

“KKM akan terus memperluas kerjasama antarabangsa bagi menggalakkan perkongsian maklumat mengenai pengesahan penyakit dan kaedah rawatan terkini,” katanya.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.