
MUAR, 28 Julai – Seramai 148 penduduk terjejas daripada 41 keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS), susulan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Sungai Balang, Muar.
- Dua PPS di SK Parit Bulat dan SK Orang Kaya Ali menempatkan 75 dan 73 penduduk.
- Tiga kampung terjejas: Kampung Parit Bulat, Kampung Sri Menanti dan Kampung Parit Pechah.
- Kerajaan Johor luluskan RM400,000 untuk bersihkan 10 kilometer sungai; JPS hantar pam dan peruntukan tambahan untuk pembersihan parit.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir berkata, sehingga pukul 12.00 tengah hari, seramai 75 penduduk daripada 24 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Parit Bulat, manakala 73 penduduk daripada 17 keluarga berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Orang Kaya Ali.
Tiga kampung yang terjejas ialah Kampung Parit Bulat, Kampung Sri Menanti dan Kampung Parit Pechah.
Sementara itu, ADUN Sungai Balang, Selamat Takim menerusi hantaran di Facebook memaklumkan Kerajaan Johor meluluskan peruntukan kecemasan sebanyak RM400,000 bagi kerja-kerja membersihkan semak hanyut sepanjang 10 kilometer di Sungai Parit Subari.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut menghantar mesin pam air bagi mengurangkan air bertakung, selain peruntukan tambahan khas disediakan untuk kerja-kerja pembersihan parit di kawasan terjejas dan berisiko bagi
melancarkan aliran air serta mengurangkan risiko banjir berulang.