Lebih 2,000 ibu tunggal terima manfaat KasihnITa

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Julai Seramai 2,379 ibu tunggal di seluruh negara telah menerima manfaat menerusi pelaksanaan Fasa 1 Program Kasih Ibu Tunggal (KasihnITa) yang diterajui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).

RINGKASAN BERITA AI
  • Program memfokuskan kefahaman hak perundangan, pengukuhan sosioekonomi, pembangunan kapasiti diri dan kesejahteraan emosi ibu tunggal.
  • KasihnITa dirangka tiga modul utama: kemahiran perundangan; pengurusan dan literasi kewangan; pembangunan psikososial.
  • Melalui modul perundangan peserta dibimbing membuat tuntutan mahkamah dan mendapat bantuan guaman sivil serta syariah dengan kos minimum.
  • Program tambahan termasuk KIRANA dan MEKAR bagi latihan kemahiran, bimbingan keusahawanan, serta peningkatan pendapatan peserta.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, program yang mula dilaksanakan sejak 2023 itu memfokuskan kepada kefahaman hak perundangan, pengukuhan sosioekonomi, serta pembangunan kapasiti diri dan kesejahteraan emosi golongan berkenaan.

Jelas beliau, KasihnITa dirangka berdasarkan dapatan Kajian Profiling Ibu Tunggal 2021 yang mendapati majoriti ibu tunggal berdepan kesukaran mengurus kewangan dan mempunyai tahap pengetahuan rendah mengenai hak selepas penceraian.

“KasihnITa dilaksanakan menerusi tiga modul utama merangkumi kemahiran perundangan, pengurusan dan literasi kewangan serta pembangunan psikososial.

“Menerusi modul perundangan, peserta dibimbing membuat tuntutan di mahkamah termasuk penyediaan bantuan guaman sivil dan syariah dengan kos minimum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Vell Paari Tun Samy Vellu di Dewan Negara hari ini.

Hui Ying turut memaklumkan, pelaksanaan KasihnITa Fasa 2 kini sedang giat dijalankan di seluruh negara dan dijangka berterusan sehingga pertengahan Ogos depan.

Mengulas mengenai program pemerkasaan ekonomi lain, beliau berkata wanita termasuk ibu tunggal turut diberi akses kepada Program Kemahiran Penjanaan Pendapatan (KIRANA) bagi membimbing mereka dalam perniagaan.

Sejak 2024 hingga Jun lalu, sebanyak 1,913 program KIRANA telah dilaksanakan yang memberi manfaat kepada 894 peserta,sekali gus berjaya merekodkan purata peningkatan pendapatan bulanan antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan.

Selain itu, JPW turut melatih 11,377 wanita menerusi 437 Program Memberdaya Akar Umbi Wanita (MEKAR) setakat Jun lalu, yang dilaksana menerusi platform Laman Wanita (LaWa) dan LaWa On-the-Go bagi menyediakan latihan kemahiran serta bimbingan keusahawanan komuniti.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.