
KUALA LUMPUR, 19 Julai – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan siasatan teknikal terperinci bersama Persatuan Arborist Malaysia susulan insiden pokok tumbang di Jalan Tun Razak yang meragut nyawa seorang lelaki, pada Sabtu.
- Siasatan merangkumi pemeriksaan fizikal pokok, struktur akar, keadaan tanah, faktor persekitaran serta semakan rekod penyelenggaraan dan aduan terdahulu.
- Pokok Yellow Flame (Peltophorum pterocarpum) dianggarkan 19 tahun; kali terakhir diselenggara 15 Mei 2025; kontraktor lakukan pengurangan silara.
- Pemeriksaan awal pokok matang berpotensi risiko di jalan utama dijangka mengambil masa 10 minggu, melibatkan lapan pasukan termasuk lima arboris.
- DBKL menunggu kelulusan SIRIM bagi 400 pengesan pokok untuk pantau tanah, kelembapan dan pergerakan struktur; fasa pertama di empat lokasi.
DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan tersebut merangkumi pemeriksaan keadaan fizikal pokok, struktur akar, keadaan tanah, faktor persekitaran serta semakan terhadap rekod penyelenggaraan dan aduan terdahulu di lokasi kejadian.
“Berdasarkan rekod awal, pokok daripada spesies Peltophorum pterocarpum atau Yellow Flame itu dianggarkan berusia 19 tahun dan kali terakhir diperiksa dan disenggara pada 15 Mei 2025.
“Kontraktor yang telah dilantik oleh DBKL telah melaksanakan kerja-kerja pengurangan silara (crown reduction) berdasarkan laporan dikemukakan Arboris Bertauliah,” menurut kenyataan itu hari ini.
Sebagai langkah segera, DBKL mula menjalankan pemeriksaan terhadap pokok matang dan berpotensi mendatangkan risiko di jalan-jalan utama ibu kota, khususnya di kawasan dikenal pasti mempunyai jumlah trafik dan pergerakan orang awam yang tinggi.
Pemeriksaan awal itu dijangka mengambil masa selama dua bulan setengah atau 10 minggu melibatkan kawasan Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Laut, Jalan Datuk Keramat serta sebahagian Jalan Tun Razak dengan kekuatan lapan pasukan termasuk lima arboris.
Sementara itu, bagi langkah pencegahan jangka sederhana pula DBKL sedang menunggu kelulusan SIRIM bagi penggunaan 400 unit pengesan pokok yang akan dipasang secara berperingkat di lokasi titik panas (hotspot).
“Pengesan tersebut berfungsi memantau keadaan pokok dan memberikan bacaan awal berhubung perubahan yang boleh menjejaskan kestabilannya termasuk keadaan tanah, kelembapan, pergerakan struktur serta kesan cuaca buruk, hujan lebat dan banjir.
“Data daripada pengesan ini akan membantu DBKL mengenal pasti pokok yang memerlukan pemeriksaan lanjut dan membolehkan tindakan pencegahan diambil lebih awal sebelum risiko menjadi lebih serius,” tambah kenyataan itu.
Pelaksanaan fasa pertama pemasangan alat tersebut dijangka melibatkan empat lokasi iaitu Jalan Bangsar, Dataran Merdeka, Jalan Ampang dan Jalan Raja Chulan.
Ketika mengulas mengenai kejadian itu, DBKL memaklumkan pasukannya digerakkan ke lokasi sebaik sahaja menerima laporan kira-kira pukul 10.14 malam bagi membantu operasi kecemasan, melaksanakan kerja pemotongan serta mengalihkan pokok yang menghalang laluan.
Kerja pembersihan selesai pada kira-kira pukul 1.27 pagi sebelum laluan dibuka semula kepada pengguna jalan raya.
Dalam pada itu, DBKL menegaskan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dan agensi berkaitan bagi melengkapkan siasatan selain akan berhubung dengan keluarga mangsa untuk urusan berkaitan tertakluk kepada peraturan yang berkuat kuasa.
DBKL turut mengucapkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap individu lain yang terbabit dalam kejadian menerima rawatan dan bantuan sewajarnya.
Pada Sabtu, seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya dihempap sebatang pokok tumbang di hadapan Dua Residency, berhampiran Kedutaan Singapura di Jalan Tun Razak.
Mangsa yang berusia 43 tahun, mengalami kecederaan pada kedua-dua belah tangan serta pendarahan dalaman di bahagian dada sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pukul 4.00 pagi tadi.