Autonomi Parlimen: 53 pegawai setuju sertai skim baharu

Datuk Seri Azalina Othman Said/ RTM

KUALA LUMPUR, 15 Oktober- Seramai 53 pegawai Parlimen bersetuju menyertai skim Perkhidmatan Parlimen baharu susulan penguatkuasaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 [Akta 869] pada 1 Oktober lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pegawai diberi pilihan menyertai skim Perkhidmatan Parlimen baharu atau kekal dalam skim sedia ada, tempoh keputusan sehingga 15 Januari 2027.
  • Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 mewujudkan MPP untuk menguruskan perkhidmatan Parlimen secara bebas, profesional dan berkesan.
  • Empat Ahli Parlimen dilantik ke MPP mewakili kerajaan dan pembangkang; MPP dipengerusikan bersama Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kumpulan itu terdiri daripada 34 pegawai Dewan Rakyat, 12 pegawai Dewan Negara dan tujuh pegawai Bahagian Penyelidikan.

Beliau berkata pegawai sedia ada diberikan pilihan untuk menyertai skim baharu itu atau kekal dalam skim perkhidmatan masing-masing, dengan tempoh membuat keputusan sehingga 15 Januari 2027.

“Peralihan ini penting bagi memastikan autonomi Parlimen bukan hanya wujud dari segi perundangan, tetapi dapat diterjemahkan melalui pentadbiran dan pengurusan sumber manusia yang lebih berkesan,” katanya ketika sesi penerangan di Dewan Rakyat, hari ini.

Datuk Seri Azalina berkata pelaksanaan skim itu seiring dengan penubuhan Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP) di bawah Seksyen 3 Akta 869 bagi mengurus dan mentadbir Perkhidmatan Parlimen secara lebih bebas, profesional dan berkesan.

Beliau berkata penamaan empat Ahli Dewan Rakyat sebagai anggota MPP turut diluluskan semalam bagi melengkapkan keanggotaan majlis berkenaan.

Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohammad yang mewakili kerajaan, serta Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mewakili pembangkang.

MPP dipengerusikan bersama oleh Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, dengan tanggungjawab mengawasi urusan pelantikan, syarat perkhidmatan, kewangan dan latihan pegawai Parlimen secara autonomi.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata reformasi perkhidmatan Parlimen perlu diterjemahkan kepada peningkatan profesionalisme kakitangan serta mutu perbahasan, selaras dengan usaha memperkukuh kebebasan dan kewibawaan institusi itu.

Pegawai yang terlibat mempunyai tempoh sehingga 15 Januari 2027 untuk menentukan sama ada mahu menyertai skim Perkhidmatan Parlimen baharu atau kekal dalam skim perkhidmatan masing-masing.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.