China ulang sokongan Malaysia sertai BRICS

Facebook: Zahid Hamidi

BEIJING, 15 Oktober- China mengulangi sokongan terhadap hasrat Malaysia untuk menjadi anggota penuh BRICS, selain berharap Malaysia terus memainkan peranan dalam memperkukuh hubungan China dengan negara-negara ASEAN.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perbincangan dua hala antara Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ding Xuexiang di Dewan Besar Rakyat, Beijing.
  • Perbincangan turut menyentuh penggunaan mata wang Renminbi (RMB) dalam perdagangan Malaysia dengan China dan negara-negara GCC.
  • Perbincangan menekankan impak besar terhadap pertukaran nilai ringgit dengan RMB serta pertukaran mata wang dengan negara-negara GCC.
  • Kedua-dua pihak membincangkan kerjasama tiga hala antara ASEAN, China dan GCC; Malaysia diharapkan terus memperkukuh peranan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuan dua hala bersama rakan sejawatannya, Ding Xuexiang di Dewan Besar Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata perbincangan turut menyentuh penggunaan mata wang Renminbi (RMB) dalam perdagangan antara Malaysia dengan China serta negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

“Ini juga termasuk penggunaan RMB sebagai mata wang dalam perdagangan dengan China dan GCC. Perkara ini akan memberi impak besar terhadap pertukaran nilai ringgit dengan RMB serta pertukaran mata wang dengan negara-negara GCC,” katanya.

Menurut beliau, perbincangan turut merangkumi kerjasama pelbagai hala selain hubungan dua hala, dengan kedua-dua pihak mencapai persetujuan bersama dalam beberapa perkara.

Kedua-dua pihak turut membincangkan kerjasama tiga hala antara ASEAN, China dan GCC susulan sidang kemuncak melibatkan ketiga-tiga pihak yang berlangsung di Malaysia tahun lalu.

Malaysia juga diharapkan terus memainkan peranan dalam memperkukuh kerjasama berkenaan apabila sidang kemuncak seterusnya diadakan di China.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid berkata hasil perbincangan itu akan dibawa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk pertimbangan dan tindakan susulan.

Perdana Menteri dijadualkan menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di China bulan depan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.