
KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Tindakan penguatkuasaan akan segera dilaksanakan sebaik sahaja laporan pelanggaran peraturan merokok dan penggunaan rokok elektronik (vape) diterima menerusi platform MyLapor.
- Boleh melapor pelanggaran seperti merokok di kawasan larangan dan penjualan atau penggunaan produk merokok oleh individu di bawah 18 tahun.
- Laporan untuk pembungkusan tidak mematuhi, jualan secara dalam talian atau mesin layan diri, serta iklan dan promosi produk merokok yang dilarang.
- MyLapor diakses melalui MySejahtera, imbasan kod QR premis atau portal MyLapor; laporan disalurkan kepada Pejabat Kesihatan terdekat.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Ismuni Bohari berkata, antara kesalahan yang boleh dilapor termasuk merokok di kawasan larangan serta penjualan, pembelian atau penggunaan produk merokok oleh individu berumur bawah 18 tahun.
Laporan juga boleh dibuat bagi kes pembungkusan produk tidak mematuhi peraturan, penjualan secara dalam talian atau mesin layan diri serta iklan dan promosi produk merokok yang tidak dibenarkan.
“MyLapor merupakan satu platform yang kita bangunkan untuk memudahkan masyarakat membuat laporan sekiranya berlaku kesalahan berkaitan merokok.
“Apabila laporan dihantar, ia akan terus kepada Pejabat Kesihatan terdekat,” katanya kepada RTM.
Jelasnya lagi, MyLapor boleh diakses menerusi aplikasi MySejahtera, imbasan kod QR MyLapor di premis atau portal MyLapor.
Platform yang mula beroperasi pada 12 Oktober dibangunkan bagi menyokong penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).