1,204 PMKS manfaat Program SINAR setakat September

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Seramai 1,204 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendapat manfaat menerusi pelaksanaan Program Sokongan Industri dan Perniagaan Malaysia (SINAR) setakat 30 September lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program SINAR diperuntukkan RM205 juta untuk menyediakan akses pembiayaan dan sokongan perniagaan tambahan kepada PMKS.
  • Skim Pembiayaan Mudah untuk PKS diperuntukkan RM30 juta; kelulusan RM7.12 juta dikreditkan kepada lapan PMKS.
  • Business Accelerator dan Skim Prestige 2.0 masing-masing peruntukan RM20 juta; kelulusan RM8.88 juta kepada 18 PMKS, RM11.53 juta kepada 15 PMKS.
  • Program Penskalaan Perniagaan Inklusif diperuntukkan RM5 juta; 192 PMKS menerima geran berjumlah RM4.64 juta.

Program bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi SME Corp Malaysia itu diumumkan pada Jun lalu dengan peruntukan RM205 juta bagi menyediakan akses pembiayaan serta sokongan perniagaan tambahan kepada PMKS yang memerlukan.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, antara inisiatifnya ialah Skim Pembiayaan Mudah untuk PKS dengan peruntukan RM30 juta.

Menerusi skim berkenaan, pembiayaan berjumlah RM7.12 juta diluluskan kepada lapan PMKS setakat ini.

“Bagi program kedua, Skim Peningkatan Kapasiti dan Keupayaan PKS atau Business Accelerator Programme, peruntukan sebanyak RM20 juta disediakan dan kelulusan pembiayaan berjumlah RM8.88 juta diberikan kepada 18 PMKS setakat ini.

“Skim ketiga ialah Skim Pembiayaan Prestige 2.0 dengan peruntukan RM20 juta, yang memanfaatkan 15 PMKS menerusi kelulusan pembiayaan berjumlah RM11.53 juta,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Selain itu, seramai 192 PMKS menerima manfaat menerusi pemberian geran berjumlah RM4.64 juta di bawah Program Penskalaan Perniagaan Inklusif yang diperuntukkan RM5 juta.

Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 971 PMKS turut mendapat manfaat daripada tawaran diskaun 50 peratus bagi permohonan sijil status PMKS sehingga Ogos lalu.

Tawaran itu akan diteruskan mulai 16 Oktober hingga 31 Disember ini, membolehkan PMKS mendapatkan sijil berkenaan pada harga RM50 berbanding kadar biasa RM100.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.