Jerebu tebal cemari udara serantau

Penunggang motosikal melalui jalan raya di Palangkaraya, Kalimantan Tengah, Indonesia/Foto AFP

PALANGKARAYA, 15 Oktober – Jerebu tebal menyelubungi bandar Palangkaraya di Indonesia sehingga menyebabkan langit bertukar kekuningan dan jingga, selain mengurangkan jarak penglihatan kepada hanya beberapa puluh meter berikutan kebakaran hutan yang mencetuskan krisis pencemaran udara serantau.

RINGKASAN BERITA AI
  • Asap kebakaran hutan Indonesia merebak ke negara jiran, mencetuskan krisis pencemaran udara serantau.
  • Kuala Lumpur, Singapura, Medan dan Jakarta tersenarai antara bandar utama dengan pencemaran udara tertinggi menurut IQAir.
  • Kebakaran memusnahkan ratusan ribu hektar hutan di Sumatera, Borneo dan Papua, diperburuk oleh El Nino kuat.

Kuala Lumpur menduduki tempat teratas dalam senarai bandar utama dunia dengan pencemaran udara tertinggi oleh laman pemantauan IQAir pada Khamis, diikuti Singapura, Medan dan Jakarta.

Kebakaran yang berlarutan selama beberapa bulan di Indonesia menyebabkan asap merebak ke beberapa negara jiran.

Timor-Leste turut mengumumkan penutupan sekolah selama tiga hari bermula Khamis susulan keadaan jerebu bagi melindungi kesihatan pelajar dan guru, selain menasihatkan keluarga supaya memastikan kanak-kanak berada di dalam rumah.

Indonesia lazimnya mengalami kebakaran hutan ketika musim kemarau, namun keadaan tahun ini bertambah buruk berikutan kemarau yang dikaitkan dengan fenomena El Nino kuat.

Kebakaran memusnahkan ratusan ribu hektar hutan dan kawasan ladang di Sumatera, Borneo dan Papua, sekali gus meningkatkan pencemaran udara di Indonesia, Malaysia, Singapura, Filipina dan Timor-Leste.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.