fb fb fb fb fb

CUEPACS yakin semua negeri sedia selaras kenaikan gaji penjawat awam

Adnan Mat pada Majlis Santunan Budi Aidilfitri MADANI CUEPACS Terengganu di Kuala Nerus

KUALA NERUS, 12 Mei- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyokong sepenuhnya semua sekiranya kerajaan negeri termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun melaksanakan skim kenaikan gaji terhadap kakitangan mereka.

Dalam masa sama, Presidennya Datuk Dr Adnan Mat yakin semua kerajaan negeri bersedia melaksanakan pelarasan gaji penjawat awam mereka, selaras keputusan Kerajaan Persekutuan berhubung pelaksanaan Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang baharu dijangka berkuat kuasa Disember ini.

Setakat ini, beberapa negeri termasuk Pulau Pinang, Perak, Selangor, Sabah dan Sarawak memberi maklum balas positif dan menyatakan kesediaan untuk mengikut langkah kerajaan menaikkan gaji penjawat awam seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Mei lepas.

Beliau berkata, sebahagian negeri lagi masih mengambil pendekatan tunggu dan lihat untuk mengkaji perincian kenaikan gaji, sebelum keputusan akhir dapat dibuat.

"Sejarah menunjukkan dari tahun 2000… kenaikan gaji tidak ada rekod satu negeri yang menolak. Mereka hanya menunggu perkara-perkara (perincian kenaikan gaji) dimuktamadkan oleh Persekutuan dan akan disambut baik oleh semua kerajaan negeri.

"Mereka bukan tidak menyambut baik, tetapi soal ini masih awal untuk dibahaskan," katanya ketika ditemui pada Majlis Santunan Budi Aidilfitri MADANI CUEPACS Terengganu di Dewan Tok Jiring di sini hari.

Pada 1 Mei, Perdana Menteri mengumumkan SSPA yang baharu akan membabitkan kenaikan gaji lebih 13 peratus bermula 1 Disember tahun ini.

Sementara itu, CUEPACS menyokong kenyataan Anwar pada 5 Mei lalu bahawa pemberian skim kenaikan gaji baharu akan dilaksanakan berdasarkan penilaian prestasi serta tahap kecekapan penjawat awam.

"CUEPACS tiada masalah atas pengumuman tersebut terhadap mereka yang gagal dalam menjalankan tugas, culas, ponteng, tidak efisen, tidak kompeten dan sebagainya.

"Ia ada dalam garis panduan anggota perkhidmatan awam, sama ada dalam tata kelakuan dan tindakan-tindakan tatatertib ada dalam pekeliling. Kami sentiasa memantau anggota kami," katanya.

Dalam pada itu, Adnan berkata, CUEPACS turut berharap Kerajaan Persekutuan mengambil kira kenaikan kadar pencen pesara, bagi memastikan kebajikan mereka turut terbela dalam mendepani peningkatan kos sara hidup ketika ini.

ARTIKEL BERKAITAN
Kenaikan gaji penjawat awam dibuat berdasarkan prestasi - PM
Jangan politikkan kenaikan gaji penjawat awam - CUEPACS
Anwar umum kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus mulai Disember ini
Kenaikan gaji, langkah substantif kerajaan bantu penjawat awam

SITI AISHAH MD ISA