
CYBERJAYA, 21 Julai – Barisan Nasional (BN) akan terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan selaras dengan pendirian dan resolusi yang diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sebelum ini, kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
- Keputusan PAU ialah pendirian rasmi parti dan mesti dihormati oleh semua pihak.
- Tiada badan lebih tinggi daripada Perhimpunan Agung dan keputusan dipersetujui peringkat tertinggi.
- Beliau menyampaikan kenyataan itu pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari Imigresen 2026 di Cyberjaya.
- Pelantikan dan pengguguran anggota kabinet adalah hak mutlak Perdana Menteri berdasarkan maklumat sahih.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan itu merupakan pendirian rasmi parti yang telah dipersetujui pada peringkat tertinggi dan perlu dihormati oleh semua pihak.
“Keputusan itu adalah pendirian dan resolusi yang telah dibawa ke PAU. Tiada badan yang lebih tinggi daripada perhimpunan agung dan kita amat menghormati keputusan tersebut. Jadi, saya berharap semua pihak tidak perlu bimbang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari Imigresen 2026 di Cyberjaya, hari ini.
Sementara itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid menegaskan pelantikan atau pengguguran mana-mana anggota kabinet adalah hak mutlak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, Perdana Menteri mempunyai kuasa penuh untuk membuat sebarang keputusan berdasarkan maklumat dan pertimbangan yang diterima.
“Kuasa pelantikan itu adalah hak mutlak Perdana Menteri. Jika Perdana Menteri mengesyaki atau menerima maklumat yang sahih, maka tindakan yang diambil adalah di bawah bidang kuasa beliau,” katanya.