Konflik maritim: Ancaman kepada bekalan tenaga, ekonomi global

Foto BERNAMA

IPOH, 21 Julai – Keselamatan tenaga dan maritim kini tidak lagi boleh dilihat sebagai dua perkara yang berasingan, sebaliknya saling berkait dalam menjamin kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Konflik di laluan perkapalan utama mengancam bekalan tenaga, rantaian perdagangan dan meningkatkan kos logistik global termasuk impak kepada Malaysia.
  • Laluan maritim mesti kekal selamat, terbuka dan boleh diakses semua negara untuk menjamin kelancaran perdagangan antarabangsa.
  • Malaysia akan mengekalkan hubungan baik antarabangsa sambil memperkukuh modal insan, pendidikan dan nilai murni untuk ketahanan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sebarang konflik yang berlaku di laluan perkapalan utama dunia mampu memberi kesan kepada bekalan tenaga, rantaian perdagangan serta kos logistik di peringkat global, termasuk Malaysia.

Menurutnya, laluan maritim perlu dipastikan kekal selamat, terbuka dan boleh diakses oleh semua negara bagi menjamin kelancaran perdagangan antarabangsa.

“Bagi saya, ini bukan soal kawalan. Sebaliknya, ia adalah untuk memastikan kita dapat menjamin keselamatan laluan tersebut supaya perjalanan melaluinya selamat, laluan itu kekal terbuka, dan pada akhirnya perdagangan dapat dijalankan secara bebas antara semua negara.

“Dengan itu, laluan tersebut boleh diakses oleh semua pihak.

“Bagi kami di Malaysia, ini merupakan satu tanggungjawab untuk memastikan Selat Melaka, sebagai contoh, kekal terjamin, selamat, dan boleh diakses oleh semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi seorang daripada panel dalam Sesi Diraja Tersohor bersama Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bersempena dengan Persidangan Mengenai Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) Kelapan bertemakan “Setiap Insan Dihargai: Kemuliaan dan Perpaduan Dalam Islam” di sini, hari ini.

Jelasnya, Malaysia akan terus mengekalkan hubungan baik dengan semua negara bagi memastikan perdagangan, keselamatan maritim dan kepentingan ekonomi negara terus terpelihara.

Pada masa sama, negara perlu memberi tumpuan kepada perkara yang berada dalam kawalan sendiri, termasuk memperkukuh modal insan, pendidikan dan nilai-nilai murni sebagai asas kepada ketahanan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.