
BUKIT MERTAJAM, 28 Ogos – Kerajaan bersetuju meluluskan peruntukan khas bagi pemberian elaun kepada pelajar prauniversiti di seluruh negara yang dijadualkan dibentangkan menerusi Belanjawan 2027 pada Oktober depan.
- Keputusan dibuat bagi mengimbangi insentif di peringkat persekolahan dan pengajian tinggi.
- Kadar dan jumlah elaun ditentukan berdasarkan kemampuan kewangan negara, kerajaan tidak mahu berhutang.
- Cadangan datang daripada perwakilan pelajar melalui 12 resolusi, pelaksanaan dijangka membantu menampung keperluan pengajian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat bagi mengimbangi insentif yang dinikmati pelajar di peringkat persekolahan dan pengajian tinggi.
Bagaimanapun, beliau berkata kadar serta jumlah elaun yang bakal diberikan akan ditentukan berdasarkan kemampuan kewangan semasa negara.
“Saya telah umumkan, dalam belanjawan kita pada bulan Oktober, saya akan luluskan peruntukan dan elaun untuk pelajar-pelajar Tingkatan Enam.
“Tentang jumlahnya, tunggu pengumuman nanti. Saya tidak mahu berhutang. Kita perlu berbelanja mengikut kemampuan dan keupayaan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Temu Anwar bersempena Ambang Merdeka Sahabat MADANI di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun, di Bukit Mertajam.
Terdahulu, cadangan pemberian elaun khas kepada pelajar prauniversiti dikemukakan oleh perwakilan pelajar menerusi 12 resolusi yang dibentangkan dalam Kongres Prauniversiti.
Pelaksanaan inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada pelajar prauniversiti, khususnya dalam membantu menampung keperluan sepanjang tempoh pengajian mereka.