Sri Aman catat IPU 211, 21 kawasan IPU lebih 100

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Kualiti udara di Sri Aman, Sarawak pada tahap sangat tidak sihat apabila merekodkan Indeks Pencemar Udara (IPU) 211 setakat 2 petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • 21 kawasan dilaporkan tahap tidak sihat di Sarawak, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Kedah, Selangor, Putrajaya dan Negeri Sembilan.
  • JAS meningkatkan penguatkuasaan dan rondaan harian serta memantau bacaan IPU bagi menangani pembakaran terbuka dan pergerakan asap jerebu.
  • Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 mengenakan denda besar dan hukuman penjara; orang ramai dinasihat tidak melakukan pembakaran terbuka.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah Saedon memaklumkan 21 kawasan lagi mencatatkan IPU pada tahap tidak sihat membabitkan Sarawak, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Kedah, Selangor, Putrajaya dan Negeri Sembilan.

“Sarawak melibatkan IPD Serian IPU (182), Sarikei (159), Kuching (157), Miri (116), Bintulu (120) dan Sibu (101). Manakala, Kuala Lumpur di Cheras (160), Batu Muda (152).

“Selain itu, Seberang Perai (158), Minden (158), Seberang Jaya (154) di Pulau Pinang. Seterusnya, Perak di Taiping (155), Tasek Ipoh (150), dan Tanjung Malim (104),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, Sungai Petani dan Alor Setar, Kedah masing-masing merekodkan IPU 154 dan 151 selain, Selangor membabitkan Johan Setia (152), Shah Alam (152) serta Petaling Jaya (126).

Satu kawasan pada tahap tidak sihat di Seremban, Negeri Sembilan dan Putrajaya dengan masing-masing 114 dan 147.

Azuri berkata kualiti udara dalam negara hari ini merosot di beberapa kawasan di pantai barat Semenanjung dan Sarawak kerana dipengaruhi pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah.

Justeru, JAS katanya meningkatkan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan-kawasan berpotensi berlaku aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.

Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan diaktifkan bagi menyelaras tindakan-tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara.

“Semua pemilik tanah dinasihatkan supaya memantau secara rapi kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah hutan, tanah gambut dan ladang,” ujarnya.

Orang ramai diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka.

Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 memperuntukkan denda minimum RM25,000 hingga maksimum RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya selain, kompaun sehingga tidak melebihi 50 peratus denda maksimum.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.