
PUTRAJAYA, 10 Oktober – Usaha menjimatkan perbelanjaan dan membendung ketirisan membolehkan kerajaan mengoptimumkan pengurusan kewangan negara, sekali gus memastikan lebih banyak manfaat dapat disalurkan kepada rakyat menerusi Belanjawan MADANI 2027.
- Tatakelola baik memastikan bantuan seperti kasut sukan, elaun serta sokongan kepada pekebun getah dan pesawah padi sampai kepada rakyat.
- Keutamaan diberi kepada keperluan asas serta kebajikan anggota keselamatan termasuk pertahanan, perumahan anggota tentera dan polis.
- Hasil penjimatan disalurkan semula kepada rakyat tetapi usaha membendung ketirisan perlu diteruskan bagi kestabilan kewangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengurusan kewangan yang berhemah penting bagi memastikan sumber negara dimanfaatkan secara optimum untuk memenuhi keperluan rakyat, dengan mengambil kira komitmen pembayaran hutang serta keperluan sektor yang memerlukan perhatian.
Beliau berkata, peningkatan keupayaan kewangan kerajaan hasil usaha berkenaan membuka ruang untuk menyediakan pelbagai bantuan dan kemudahan kepada rakyat.
“Tatakelola yang baik membolehkan kita menyediakan pelbagai bantuan seperti kasut sukan, selain menyalurkan elaun dan bantuan kepada pekebun getah serta pesawah padi.
“Semua ini dapat dilaksanakan kerana kita mengurus perbelanjaan dengan cermat dan mengelakkan ketirisan. Inilah kepentingan tatakelola yang baik,” katanya dalam program Wacana Khas Belanjawan MADANI 2027 yang disiarkan RTM.
Perdana Menteri berkata, keutamaan turut diberikan kepada keperluan asas dan kebajikan anggota keselamatan, termasuk pertahanan, perumahan anggota tentera dan polis serta penyediaan kemudahan sekolah yang masih belum mencukupi.
Pendekatan itu membolehkan hasil penjimatan disalurkan semula kepada rakyat, namun usaha membendung ketirisan perlu diteruskan bagi memastikan kedudukan kewangan negara kekal kukuh dan manfaatnya dapat dinikmati secara berterusan.