Belanjawan 2027: Golongan paling terhimpit jadi keutamaan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Kebajikan golongan paling terhimpit terus menjadi keutamaan kerajaan dalam merangka Belanjawan MADANI 2027, meskipun berdepan kekangan untuk menangani keseluruhan tekanan kos sara hidup.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebajikan golongan paling terhimpit diutamakan dalam perancangan Belanjawan MADANI 2027.
  • Pendekatan bersasar untuk meringankan beban akibat kenaikan harga antarabangsa yang di luar kawalan kerajaan.
  • Pemberian elaun dan kemudahan tambahan kepada kelompok memerlukan sebagai bantuan sementara.
  • Langkah termasuk jualan terus pasar tani, sokongan kepada p-hailing, e-hailing, OKU, pesawah dan nelayan mengikut keutamaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebahagian tekanan harga berpunca daripada faktor pasaran antarabangsa yang berada di luar kawalan langsung kerajaan, sekali gus memerlukan pendekatan bersasar bagi meringankan beban rakyat.

Menurut beliau, kerajaan bukan sahaja berusaha mengurangkan kos barangan yang mampu dikawal, malah mempertimbangkan pemberian elaun dan kemudahan tambahan kepada kelompok yang memerlukan.

“Jadi yang kita lakukan, selain mengurangkan kos, bahan-bahan yang mampu kita kurangkan, tapi yang selain daripada itu ialah memberikan elaun-elaun dan kemudahan yang sedikit diberikan dulu atau belum pernah diberikan dulu.

“Dan ini bagi saya penting walaupun ada yang menyoal, tapi saya katakan sekarang dia begini. Kita boleh rancang. Kemudian bila keadaan mengizinkan, kita laksanakan,” katanya dalam program Wacana Khas Belanjawan MADANI 2027 yang disiarkan RTM malam ini.

Antara pendekatan yang boleh dilaksanakan ialah penjualan terus hasil pertanian daripada petani kepada pengguna menerusi pasar tani bagi membantu mengurangkan kos rantaian bekalan dan harga kepada pengguna.

Datuk Seri Anwar turut memberikan contoh keputusan kerajaan mengekalkan harga minyak pada RM1.99 seliter walaupun harga minyak dunia meningkat daripada unjuran awal sekitar AS$70 kepada AS$110 setong.

Menurut beliau, kerajaan turut meneliti keperluan pelbagai kelompok masyarakat, termasuk pekerja p-hailing dan e-hailing, golongan orang kurang upaya (OKU), pesawah serta nelayan pantai yang berdepan cabaran berkaitan lesen dan sumber perikanan.

Beliau berkata, walaupun tidak semua masalah dapat diselesaikan serentak, kerajaan perlu menyusun tindakan mengikut keutamaan dan melaksanakan bantuan apabila keadaan mengizinkan.

“Jadi sebab itu saya katakan walaupun ada kekangan, kita mengambil keputusan itu. Sebab apa kita mengambil keputusan itu?

“Kerana akhirnya dalam mengurus ekonomi negara itu, pendapatan dan kehidupan rakyat biasa itu menjadi keutamaan,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan bahawa pendapatan dan kehidupan rakyat biasa perlu terus menjadi pertimbangan utama dalam pengurusan ekonomi negara bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai oleh semua kelompok masyarakat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.