
PUTRAJAYA, 10 Oktober – Pembangunan negara perlu diseimbang antara usaha meneroka bidang baharu seperti teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI) dengan memenuhi keperluan asas rakyat.
- Pembangunan mesti seimbang antara kemajuan ekonomi dan peningkatan kesejahteraan rakyat.
- Fokus kepada isu gaji, harga barang, kebajikan OKU dan akses asas untuk kanak-kanak.
- Mengutamakan nilai, akhlak, budaya serta penyantunan masyarakat bukan Islam dan sokongan kepada rumah ibadat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, falsafah “Menggapai Langit, Mengakar di Bumi” mencerminkan keperluan untuk memastikan kemajuan ekonomi bergerak seiring dengan peningkatan kesejahteraan masyarakat.
Jelas beliau, pembangunan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pelaburan dan teknologi, sebaliknya turut memberi perhatian kepada soal gaji, harga barang, kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU) serta keperluan asas rakyat.
“Mencapai kemajuan dalam bidang baharu seperti pelaburan, teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI) mungkin lebih mudah. Namun, kita juga perlu berpijak di bumi nyata dengan memberi perhatian kepada isu gaji, harga barang, kebajikan orang kurang upaya (OKU) serta kanak-kanak yang masih tidak mendapat kemudahan asas.
“Selain pembangunan ekonomi, aspek nilai, akhlak dan budaya juga perlu diberi perhatian,” katanya dalam Wacana Khas Belanjawan Madani yang disiarkan RTM.
Perdana Menteri berkata, pembangunan juga perlu mengambil kira aspek nilai, akhlak dan budaya, termasuk latihan pendidikan Islam serta usaha menyantuni masyarakat bukan Islam dan menyediakan peruntukan bagi rumah ibadat mereka.
Pendekatan itu penting bagi memastikan pembangunan negara memberi manfaat secara menyeluruh kepada masyarakat.